BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, November 26, 2011

Menjadi terlalu sensitif dan emosi akan selalu menyusahkan orang, dan kadang-kadang, menyusahkan diri sendiri. Kesimpulannya, kalau taknak susahkan diri sendiri, jangan ikut perasaan bila buat sesuatu.

Thursday, November 03, 2011

Senyumlah.

Saya masih hidup dan bernyawa. Malah lebih bahagia, dan mampu tersenyum setiap masa. Selepas berbulan menyepi, penulisan di blog ini bakal bermula semula. InshaAllah. (:

Saturday, August 13, 2011

Doa adalah bukti kecintaan.

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan, Si Pemilik nyawa dan seluruh kehidupan saya dan anda semua. Ulang tahun yang ke-20 ini sekali lagi, jatuhnya dalam bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan.


Sebenarnya, tidak ada beza hari ini, semalam mahupun esok. Setiap hari yang mendatang dan telah pergi, adalah anugerah Allah yang perlu kita syukuri. Logiknya, hari selepas ulang tahun ini malah patut lebih disyukuri, kerana Tuhan menganugerahkan satu lagi hari untuk kita terus bernafas selepas kiraan tahun perjalanan kita di bumi Tuhan ini. Ulang tahun hanyalah kiraan waktu yang paling kita ingat, dan yang paling kita rasa nikmat sebuah kehidupan.

Pun begitu, disebalik syukur yang kita panjatkan buat Tuhan yang Maha Pemurah, yang memberi denyut nadi untuk kita jalani kehidupan, ada satu perkara yang paling patut kita syukuri. Ia adalah doa-doa yang dikirim dan dititip dari setiap manusia yang mengingati kita. Biarpun kiriman itu adalah kiriman yang biasa, dari teman biasa, namun setiap doa itu dihitung dan dikira. Doa itu adalah tanda kita saling mencintai. Sesungguhnya doa kalian yang paling saya syukuri.

Terima kasih Tuhan, kerana menghantar manusia seperti mereka dalam hidupku. Terima kasih Tuhan, kerana nikmat nyawa yang Engkau pelihara selama 20 tahun kehidupanku. Aku pohon, cambahkanlah kecintaan pada hati mereka yang membenci, kekalkanlah kecintaan dalam jiwa mereka yang mencintai, semaikanlah kecintaan padaMu dalam jiwa dan hati kami. Amin.

Merujuk gambar di atas : 20 years ago, bersama kembar lain ibu lain bapa. Cousin yang lahir pada hari yang sama. Happy Birthday to you. (:

Wednesday, August 10, 2011

Kembalilah kepada Tuhanmu.

Kesepian atau kesunyian sebenarnya adalah rasa yang tersepit di antara dua titik ekstrem dalam hidup. Kosong dan penuh.


Pada titik kosong, kesunyian yang berlegar adalah seperti kita tidak punya sesiapa. Ini adalah waktu kita terasa sendiri walau dikelilingi ramai manusia. Gambarannya kosong, tiada muzik, tiada suara, tiada bahasa. Kesunyian pada titik ini seperti satu pencarian yang tidak punya arah dan tujuan. Yang kita rasa adalah kehilangan akan sesuatu yang kita tidak tahu apa. Dan kehilangan itu yang mencipta kesunyian.

Pada satu lagi titik, yakni titik yang penuh, kesunyian adalah ketika terlalu ramai manusia yang hadir. Tetapi jiwa kita terasa penuh dengan kesedihan. Semakin ramai manusia, semakin kesedihan itu memenuhi hati kita. Dada jadi sesak, hendak bercerita tidak tahu di mana perlu mula. Kalaupun sudah mula bercerita, pasti ada kisah-kisah yang akan kita sembunyikan, untuk sebab yang hanya kita tahu. Segalanya tersumbat padat dalam akal dan hati sehingga tercipta kesunyian.

Kehidupan memang aneh. Dua titik yang sepatutnya jauh jarak dan duduknya, sebenarnya sama. Kesunyian dan kesepian yang menyamakan ia.

Kosong dan penuh. Pada kekosongan, pencarian adalah perlu menuju Tuhan. Percaya dan yakin pada Tuhan akan mengisi kekosongan, dan mengubah sunyi jadi bahagia. Pada kepadatan, yang perlu diluah adalah kepada Tuhan. Supaya tidak ada kisah-kisah yang perlu disorok ketika berdoa serta meluah rintihan. Perkongsian jujur dengan Tuhan akan menghilangkan sesak, mengubah sepi jadi gembira. Dan akhirnya, dua titik itu tetap sama.

Ramai atau sedikit manusia itu bukan apa-apa, kembalilah kepada Penciptamu.

Monday, August 08, 2011

Terima kasih daun keladi.


Alhamdulillah, akhirnya bisa dipeluk dengan erat. Riwayat terindah ini memberi bahagia dalam hati saya. (:

Pada santun budi yang diberi,
Jua tiap kebaikan yang dikongsi,
Terima kasih daun keladi,
Moga nanti ada lagi.

Sunday, July 31, 2011

Kebanggaan seorang hamba.

Alhamdulillah, jika Allah masih memberikan nyawa untuk hidup malam ini, tarawikh pertama untuk Ramadhan yang ke-20 akan saya kerjakan. Bagi menggambarkan perasaan saya ketika ini, terlalu sukar. Pastinya, saya terlalu dan amat gembira kerana masih bisa merasai detik-detik ini. Ramadhan ini adalah acara yang indah. Tuhan himpunkan manusia dalam pelbagai cara, untuk saling mengenal, saling membantu dan saling mendoakan.


Sedar atau tidak, dalam kita mengenang acara seperti ini, bagi menyemak semula perasaan pada Ramadhan yang lalu, perkara yang pertama terlintas adalah dengan siapa kita ketika itu, di mana kita pada waktu itu. Dan jawapan bagi soalan itu akan sekaligus menjawab, apakah perasaan serta emosi kita pada saat itu.

Jujurnya, Ramadhan yang lalu berlalu begitu sahaja bagi saya. Penuh kesedihan dan kesayuan. Ramadhan yang lalu menjadi saksi harapan diletakkan besar pada manusia, sedangkan pergantungan sebenar seharusnya hanya kepada Allah Taala, Tuhan yang mengetahui tiap-tiap sesuatu.

Apa pun yang berlaku dulu, tidak akan pernah menghalang saya untuk maju dan berubah. Biarlah Ramadhan kali ini jadi saksi penyerahan yang penuh buat Tuhan yang Satu. Ramadhan ini akan menjadi Ramadhan yang terbaik buat saya, sebagai seorang hamba yang tidak akan pernah jemu memohon dan meminta.

Agar pada Ramadhan yang akan datang, bisa saya menjawab, saya bersama Tuhan, saya ketemu Tuhan, saya berteleku di sejadah pada tiga perempat malam pada Ramadhan yang lalu. Bagi menggambarkan seluruh perasaan, saya bangga menjadi hamba yang taat dan redha.

Selamat Menyambut Ramadhan dengan hati yang ikhlas dan jiwa yang jujur. Semoga Allah memperlihatkan jalan yang lurus dan benar buat kita semua. Semoga bahagia hari ini akan berkekalan sehingga ke akhirnya. Amin.

Tuesday, July 12, 2011

32 minit

32 minit berlalu. Rahsia hati dibongkar. Air mata aku sudah kering, yang bersisa hanya sedu. Biar itu jadi sedu yang terakhir. Yang terakhir sehingga aku menjadi aku yang lain. Yang tidak lagi membuka ruang untuk manusia datang tanpa diajak dan pergi tanpa berpaling. Yang tidak lagi berdiri tidak berganjak dari titik kosong yang membunuh. Yang tidak lagi menipu diri sendiri atau menafikan tiap rasa yang hadir. Atau yang mematikan tiap cinta yang dikurnia.


Prinsip aku sama. Yang berbeza cuma caranya. Betul atau salah itu masih kerja Tuhan. Aku? Menilai dengan akal fikiran, dan juga iman! Yang pasti, aku tidak akan menafikan tiap rasa yang terbit dalam jiwaku tetapi aku akan pelihara ia dengan iman yang aku punya, walau iman itu nipisnya tidak terkata. Ia kekal menjadi milik Tuhan. Soal dosa dan juga pahala, biar iman aku juga yang menilai. Kerja akal dan fikiran? Memajukan diri ke hadapan, untuk ummah dan agama. Untuk diri sendiri yang pastinya.

Jihad yang paling utama adalah jihad untuk diri sendiri. Melawan perasaan, nafsu atau keinginan. Itu prioriti aku. Biar tidak difahami orang lain, aku tahu Tuhan fahami aku. Jadilah aku manusia yang paling dungu di mata kalian pun, aku tahu Tuhan tidak begitu. Biarlah langkah ini lambat, sekurang-kurangnya aku mahu lakukan sesuatu.

32 minit, aku tahu siapa aku sejak 19 tahun yang lalu. Dan aku tahu ke mana arah aku, untuk kiraan minit dan tahun yang mendatang. 32 minit, panggilan telefon Petaling Jaya - Cyberjaya akan mengubah hidup aku. Okay, sekurang-kurangnya mengubah sesuatu. Terima kasih sahabat.

Friday, July 08, 2011

Ar-Rahman

Benarlah Tuhan itu Maha Pemurah. Sedar atau tidak, dalam kehidupan seharian kita ni terlalu banyak ruang kebaikan yang Allah buka buat kita. Contohnya, kalau kita duduk di dalam komuter kemudian datang seorang tua dengan barang yang banyak, lalu kita menjemput si tua itu untuk duduk di tempat kita. Begitu juga bila kita nampak orang buta berjalan seorang diri, lalu kita pergi menolongnya menuju tempat yang dia ingin pergi. Mudah, tetapi itu adalah ruang kebaikan yang akhirnya menambah pahala kita.


Saya yakin, Islam adalah agama yang mudah dan meluas. Pelbagai pintu kebaikan yang tersusun dihadapan kita untuk kita pilih, buka dan masuk. Dalam konteks yang lebih besar, saya selalu percaya jihad itu banyak caranya. Ia bukan sahaja menuntut kita untuk berbaris dalam saf pahlawan, memegang senjata, atau memakai baju tentera. Jihad lebih daripada itu semua. Bukankah seorang guru yang mengajar demi membangunkan Islam itu dikira sebagai jihad? Atau seorang pelajar yang belajar demi agama tercinta?

Apa pun, ia sebenarnya bergantung pada niat untuk setiap amal yang kita lakukan. Saya selalu berkeinginan untuk melakukan kebaikan kepada manusia, dari sekecil-kecil perkara sehingga perkara yang paling besar yang saya mampu. Dan Alhamdulillah, saya tahu Tuhan punya rencana. Pelbagai jalan yang terhampar di hadapan saya untuk saya beroleh pahala kebaikan dariNya. Rencana ini cukup indah, memberi rasa syukur yang tidak terhingga menjadi seorang manusia yang boleh dikatakan cukup serba-serbi kalau hendak dibandingkan dengan ramai lagi manusia yang menderita di luar sana.

Alhamdulillah, sekarang saya sedang menguruskan sebuah program Developing Soft Skills di sebuah Fosterhomes yang menempatkan anak-anak Sarawak. Mereka ini dihantar oleh ibubapa ke Semenanjung untuk mendapatkan pendidikan dengan lebih mudah. Kerana jiwa mereka masih terlalu bersih dan suci, saya jadi tertarik. Saya mahu menanamkan pada jiwa setiap daripada mereka tentang berjihad itu bukan pada pedang mahupun senapang sahaja. Tetapi pada penulisan dan juga kalam yang kita ucapkan. InshaAllah, jika rezeki Tuhan itu memang untuk saya, program ini akan berjalan dengan lancar. Saya percaya ini jihad, mohon didoakan. Amin Ya Rabb.

Thursday, June 30, 2011

Anak


Kurang lebih, sudah satu bulan setengah saya bekerja di sekolah ini, sebagai seorang kerani. Secara kasarnya, saya lebih berurusan dengan ibubapa berbanding dengan anak-anak mereka yang bersekolah di sini. Dalam kiraan hari yang tidak seberapa ini, saya cuba menjadi pemerhati yang setia terhadap banyak perkara. Dan dalam pemerhatian ini, banyak perkara yang membuat saya tersentuh. Tentang kesungguhan, tentang kecekalan, tentang kesabaran dan banyak lagi.

Pagi semalam, ada seorang ibu datang ke pejabat. Membawa seorang anak perempuan, jilbabnya labuh. Si ibu hanya berselendang. Rupa-rupanya, anak itu bukanlah anak kandung si ibu. Dia adalah anak angkat, yang tidak bersekolah disebabkan sijil kelahiran yang dibawa lari oleh ibu kandungnya ke Indonesia. Seperti biasa, banyak procedure yang perlu dilakukan. Si ibu angkat itulah yang turun naik ke pejabat kerajaan, memohon simpati buat si anak. Saya diam, hanya mendengar. Saya bukan seorang ibu, saya tidak tahu.

Sebelah petang, datang seorang ibu bersama tiga anaknya. Satu lelaki dan dua perempuan. Si ibu meminta jasa baik guru-guru untuk menasihati dua orang anaknya yang tidak mahu bersekolah. Ujar si ibu, beliau sudah tidak terdaya. Kata-katanya hanya menjadi bahan mainan buat anak-anak. Si ibu berlalu dan meninggalkan anak-anaknya kepada para guru. Saya memerhati dari meja, tempat saya duduk. Saya diam lagi, berperang dengan perasaan sendiri. Rasa marah dan sedih bercampur kepada anak-anak itu. Tetapi saya tidak tahu, saya bukan seorang ibu.

Kemudian, datang seorang lelaki. Dia ingin membuat pendaftaran darjah satu untuk anaknya. Seperti biasa, saya minta segala dokumen yang diperlukan. Sijil kelahiran saya belek, resit saya keluarkan. Dalam saya menyelesaikan segala tugas, si ayah bercerita. Katanya, dia tidak tahu membaca, solatnya tunggang langgang, dia tidak tahu banyak soal agama. Harapannya sungguh mulia, "Kalau boleh, saya taknak anak saya jadi seperti saya." Saya diam lagi, saya benar buntu. Dalam payah, saya hulurkan senyum. Si bapa pergi, saya hanya melihat dengan pandangan yang kosong. Tersentuh, tetapi saya masih tidak tahu. Saya bukan seorang bapa.

Pagi ini, dari ruang tingkap yang terbuka saya memandang jauh ke luar pejabat sekolah. Ada anak-anak yang sedang berlari, tawanya riang. Ada yang sedang menjamu selera, ada yang memegang buku untuk dibaca. Ada sekumpulan pelajar menuju ke arah saya, pintu diketuk, saya buka. Mereka mengadukan tentang seorang pelajar lelaki yang mencuri duit kawannya. Seorang pelajar lagi menambah bahawa pelajar yang mencuri itu adalah anak ustaz dan ustazah. Saya kaget, saya diam. Dalam getar suara, saya meminta pelajar itu dibawa berjumpa dengan Guru Besar. Selepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya cuma tidak tahu, saya bukan seorang ibu atau bapa, saya bukan seorang pendidik.

Saat saya menulis ini, banyak persoalan saya pada Tuhan yang sudah terbias. Saya sudah tidak mahu bertanya soal mujahadah. Saya hanya mahu bertanya tentang perasaan menjadi ibu. Saya mahu sekali tahu apakah rasanya menjadi seorang ibu, yang diberi amanah anak oleh Tuhan. Saya bertanya pada Tuhan, apakah rasanya menjadi seorang bapa yang berusaha memberikan yang terbaik buat anaknya. Kerana selama hidup saya, saya hanya menjadi seorang anak yang tidak tahu apakah perasaannya menjadi seorang ibu atau bapa. Dan saya mahu tahu.

You may not understand this entry, you don't have to understand. I just wanna have my own children. Tuhan, jika anak itu amanah biarkan aku galas amanah itu.

Wednesday, June 15, 2011

Peluang



Sahabatku, ketahuilah peluang itu adalah hadiah dari Allah. Bukan setiap masa ia akan hadir, bukan semua insan yang akan merasainya. Mungkin hanya sekali seumur hidup ia akan datang mengisi kekosongan hidup kita, atau mungkin ia tidak akan pernah datang langsung. Membiar kita diisi dengan peluang yang lain pula.


Sahabatku, andai engkau punya peluang itu, hargailah ia. Gunakanlah ia sebaiknya, kerana percayalah, jika engkau membuangnya, jika engkau menganggapnya sebagai picisan, engkau akan terbeban dengan kekesalan yang tidak dapat engkau tanggung dengan bahumu, yang tidak dapat engkau gengdong dengan tanganmu. Dan kekesalan itu akhirnya membawa engkau mengenang setiap peluang yang telah engkau lepaskan. Mengenang dengan rasa rindu yang memuncak!

Sahabatku, aku pernah hidup dalam lingkungan yang hebat, bersama sahabat yang sentiasa ingin jadikan setiap detikku bermanfaat. Aku jua pernah hidup dalam kelompok yang tidak pernah melakukan solat sendirian, lantaran 27 kiraan yang mereka kejarkan. Aku pernah hidup dalam suasana di mana Ma'thurat menjadi rutin tika fajar dan senja menyapa. Aku pernah hidup dalam tazkirah yang berpanjangan, dan dalam kalimah yang memberi ketenangan. Itu adalah hadiah dari Allah buatku, namun ketika itu, semua itu aku tidak pernah endahkan. Aku malah berjuang bermati-matian untuk tidak menjadi seperti mereka walau cuma sebahagian. Aku tidak mahu lakukan. Semua itu aku anggap picisan.

Sahabatku, sudah aku khabarkan, aku kini terbeban dengan pelbagai sesalan. Kerana kini, saat aku mahukan hadiah dari Tuhan, aku sudah tidak punya sahabat seperti mereka, aku kini solat sendirian, aku sedang mencari teman. Aku kini merangkak melakukan yang wajib, untuk istiqamah melakukan yang sunat. Aku kini memberi peringatan pada diri sendiri, yang selalu hanyut dalam kekesalan. Aku mencipta pelbagai kata bagi memujuk hatiku untuk terus berdoa, semoga Allah memberi aku peluang yang kedua.

Sahabatku, semua yang aku pernah anggap picisan dalam hidupku adalah semua yang sedang aku mahukan. Andai dahulu aku menggunakan peluang itu sebaiknya, penyesalan ini pasti jauh dari hidupku. Namun 'andai' itu tidak bisa mengubah apa pun. Sahabatku, jangan jadi sepertiku. Apabila Allah membuka pintu pahala untukmu, maka teruslah mendapatkan pahala itu. Esok mungkin tiada bagimu, dan juga aku.

Sunday, June 12, 2011

Tidak tahu.

Percaya atau tidak, akan ada satu garis masa dalam seluruh hidup kita di mana kita berasa seperti tidak tahu apa-apa. Sedangkan ketika itu kita bukan bayi kecil yang baru dilahirkan, atau lebih tepat yang baru mengenal dunia. Tapi lagak kita seperti manusia yang paling jahil yang tidak tahu siapa diri kita, yang tidak kenal siapa di sekeliling kita, yang tidak faham dengan apa yang kita rasa, yang tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku pada diri sendiri.


Saat itu jiwa terasa kosong, tetapi dada akan sakit bagaikan mahu pecah. Fikiran akan melayang, tetapi hati mahu sekali ia kembali mengingati Tuhan. Jantung sesekali degupnya laju, tangan jadi dingin melawan perasaan. Mata akan sentiasa terasa hangat, tetapi setitik air mata pun tidak gugur untuk melepaskan tangisan. Tika itu, dunia yang bingit terasa sepi seperti hidup di alam sendiri. Hidup jadi tidak keruan seolah sedang mencari sesuatu yang hilang.

Ini mungkin pergelutan antara diri dengan perasaan. Sedih, sebak, syukur, kesal, kosong, semuanya bagai mahu bersatu dalam sekeping hati yang buntu. Sehingga tidak tahu apa yang diri sendiri mahu. Tika itu juga, jika kita memaksa perasaan supaya kembali kepada ar-Rahman tanpa apa-apa paksaan Tuhan akan datang dekat dengan kita. Cuma apabila Dia datang dekat, kita sendiri yang akan merasa seperti Dia semakin menjauh dari kita.

Sehingga amal ibadah yang tidak pernah kita lakukan dahulu, kita rasakan seperti tidak mempunyai apa-apa makna. Seakan tidak cukup untuk menampung segala dosa dan noda yang telah kita lakukan dahulu, sewaktu kejahilan jelas ada dalam diri kita. Sehingga banyak perkara yang kita ingin lakukan, yang kita ingin kongsikan agar walau tidak memberi manfaat kepada sesiapa tetapi bisa memberi manfaat pada jiwa mati kita, kita tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Sehingga kita tidak dapat dan tidak tahu bagaimana untuk menceritakan segala rasa yang bermain dalam hati dan jiwa kita ini kepada sesiapa. Kerana yang pernah berada dalam kekesalan sahaja yang akan tahu bagaimana pedihnya sesal itu. Kerana hanya mereka yang pernah mengalami kekosongan akan memahami bagaimana sepinya kekosongan itu.

Dan jika ada manusia yang tidak sampai pada garis masa ini, mereka perlu bersyukur tidak terkata. Perasaan ini payah, berat dan tidak tertanggung oleh insan sekerdil kita. Saya betul tidak tahu tentang apa yang saya rasa. Jika kalian pernah mengalami apa yang sedang saya alami, bantulah saya untuk mengubati jiwa.

Saturday, June 11, 2011

Tambah koleksi.

Assalamulaikum semua. (:

Alhamdulillah, saya dah selesai baca semua buku yang dibeli di International KL Book Fair dua bulan yang lalu. Selang beberapa hari selepas pesta buku, saya sempat membeli novel Kala Cinta dan Wahyu Bersatu, ia adalah kesinambungan novel Warkah Cinta Berbau Syurga yang saya baca lebih kurang 2 tahun yang lalu. Dan syukur, semuanya sudah selesai dibaca.

Jadi memandangkan cuti semester ini masih panjang, saya mulai bosan kerana ketandusan bahan bacaan. Kebetulan, ada mini book fair di Mydin USJ, saya pun cuba tengok-tengok kalau ada buku yang best. Dan hasilnya, saya berjaya menambah koleksi dengan 3 buah buku lagi. Novel lah to be exacted.
The first one is Perang Khandaq karya penulis kesukaan, Abdul Latip Talib. Memandangkan saya dan baca novel Perang Badar dan Perang Uhud, saya berminat untuk meneliti sejarah Perang Khandaq pula. Seriously, penulisan Abdul Latip Talib dalam merungkai sejarah Melayu dan sejarah Islam benar-benar memikat saya. Selain rentetan perang ini, saya juga sudah membaca novel Khalid al-Walid dan Salahuddin al-Ayubi karya beliau.

Novel kedua adalah novel dwilogi Padang Bulan karya Andrea Hirata. Novel pertama adalah Padang Bulan, dan novel kedua Cinta di Dalam Gelas. Ini adalah karya Andrea Hirata yang kedua yang saya mahu cuba selepas novel Edensor yang dihadiahkan oleh seorang sahabat.

Dan yang terakhir adalah Sebongkah Batu di Kuala Berang tulisan Faisal Tehrani. Ini adalah buku yang tidak berjaya dibeli semasa KL Book Fair. (:

Alhamdulillah, saya sudah ada teman untuk tempoh sebulan dan sedang memikirkan judul-judul yang bakal dibeli untuk bekalan bulan seterusnya. Hehe. InshaAllah pengajaran yang diperoleh dari Tunggu Teduh Dulu akan dikongsi dalam entry akan datang. Baca Quran jangan lupa ya kawan-kawan. (:

Saturday, May 28, 2011

Rindu

Malam ini gugur lagi. Sejujurnya, saya sudah keputusan kata dan idea, apakah punca perasaan ini tiba-tiba menjadi sayu dan pilu. Sebak tidak terkata. Saya terlalu rindu. Tetapi saya tidak tahu rindu itu untuk siapa. Atau mungkin rindu itu bukan untuk manusia, tetapi untuk Dia.


Benar, saya tidak tahu bagaimana untuk saya tuturkan. Saban hari saya mencari apakah yang sedang saya lalui ini. Apakah asbab air mata ini mudah membasahi pipi. Saya tahu, cuma saya tidak tahu bagaimana untuk bercerita soal ini. Dunia mungkin tidak bisa memahami apa yang tersirat dalam sanubari, tetapi saya yakin Tuhan sedang mendengar rintihan dari insan hina ini.

Kata seorang sahabat andai hati kita dihurung pilu dan sayu yang tidak bersebab, ia bermakna Allah sedang menjentik hati kita. Mungkinkah Allah sedang menjentik rasa pilu dan sayu ini untuk saya rindu dan berasa ingin dekat padaNya? Saya tidak tahu. Mungkinkah Allah sedang menjentik rasa ini sebagai peringatan bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya? Saya tidak tahu.

Tetapi saya tahu satu perkara, Allah itu besar kasih sayangNya. Tidak terlihat dengan mata, tidak tercapai dengan tangan, tidak terlangkah dengan kaki. Semakin kita lihat, semakin buta mata. Semakin kita capai, semakin jauh tak tergapai. Semakin kita langkah, semakin kuat arus menongkah.

Tuhan, jika rinduku ini adalah rindu padaMu, Kau sematlah ia selalu. Biar air mata ini gugur keranaMu!

Saturday, May 21, 2011

Antara Insan dan Perasaan


Pertarungan dengan perasaan sendiri itu lebih sukar.
Jujurnya saya rasa terpukul. Dimanakah pengorbanan yang saya lakukan untuk agama? Sesungguhnya tiada apa yang telah saya serahkan buat Islam tercinta. Wahai sahabat, mari renung bersama.

Saya selalu tidak bersyukur.

Amaran, ini adalah entry seorang manusia yang tidak tahu apa itu syukur.


Jujurnya, saya selalu membenci diri sendiri. Saya selalu mahu menjadi orang lain. Saya ini orangnya suka bermain dengan emosi. Saya mudah rasa menyayangi dan disayangi. Saya mudah memarahi dan memaafi. Saya mudah membenci dan menyukai. Saya mudah rasa kehilangan, saya mudah rasa punya terlalu ramai teman. Saya mudah marah, saya mudah kasih.

Tapi kesemua itu tidak sama dengan apa yang ada pada fikiran saya. Itu semua adalah rasa kerana dalam kemudahan itu saya sentiasa memikirkan ia tidak patut berlaku. Saya sentiasa berfikir saya perlu berubah, perlu punya prinsip. Tapi selalunya, akal saya ditewaskan oleh hati. Hati selalu menjadi raja diri. Ringkasnya, saya memang suka bermain dengan emosi. Saya sentiasa menurut kata hati, sedang hati saya tidak bersih.

Saya mahu berubah! Menjadi lebih baik dari semalam, jauh dari jalan yang kelam. Sesiapa, tolong ajarkan saya bagaimana mahu memberi kemenangan kepada akal sementara menunggu saya menyucikan hati. Tolonglah, saya mahu bersyukur menjadi diri sendiri. Tolonglah!

Thursday, May 12, 2011

Terima kasih sahabat.

Malam ini malam Jumaat. Malam ini malam syahdu. Usai Maghrib, saya capai surah Yasin di rak buku. Alhamdulillah, bahan bacaan kian bertambah. Saya jadi suka. Saya lalu duduk di birai katil, dengan posisi yang paling selesa. Membuka Yasin lalu memulakan bacaan dengan Al-Fatihah, selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ayatul Kursi. Selesai semua, lalu Yasin segera saya baca. Yaa Sin, ayat pertama.


Entah kesedihan apa yang menyelubungi saya sewaktu kalam Allah itu saya tuturkan. Hati saya menjadi terlalu sebak. Saya cuba mencari fokus bagi mengkhatamkan bacaan. Selesai Yasin saya baca, saya fikir dalam-dalam. Saya pejamkan mata, membayang apa yang berlaku pada saya hari ini, semalam, kelmarin dan sebelumnya. Saya cuba mencari titik pemula tentang apa yang sedang mengganggu saya.

Di sisi saya ada sebuah novel yang sedang saya baca. Tunggu Teduh Dulu tulisan Faisal Tehrani. Saya selak halaman yang sudah saya baca, tepat saya terlihat mutiara kata. "Khullah atau persahabatan itu tingkatnya lebih tinggi daripada mahabbah atau kecintaan." Saya jadi yakin, kata ini yang terlalu memberi kesan pada saya. Sehingga terbawa-bawa dalam bacaan Yasin sebentar tadi. Saya renung kata-kata itu, saya cuba mentafsir. Benar, saya rindukan seorang sahabat. Lalu saya simpan tekad, biarlah apapun yang terjadi saya sudah bersedia untuk memaafkan. Saya pohon dalam doa terakhir sebelum saya katup kembali Tunggu Teduh Dulu, "Tuhanku semaikan keikhlasan dalam jiwaku!"

Tuhan itu Maha Kaya, saya dengan tiba-tiba punya kekuatan untuk memulakan bicara. Saya yakin kekuatan itu datang dariNya dengan penuh kasihan dan bermurah hati pada hambaNya. Bicara kami jadi syahdu, saya sebak tidak terkata. Biar malam ini menjadi saksi saya sedang menunduk pada limpahan kasih Tuhan yang tidak pernah terhitung banyaknya. Saya terkesan, dan cuba mencari apa lagi tafsiran kata-kata yang memberi saya keyakinan itu.

"Khullah atau persahabatan itu tingkatnya lebih tinggi daripada mahabbah atau kecintaan." Kecintaan itu sendiri punya pelbagai tafsiran. Kecintaan saya pada diri sendiri selama ini menebalkan ego, mengorbankan sebuah jalinan kemesraan yang Tuhan kurniakan buat saya. Kecintaan saya pada diri sendiri yang menyemarakkan ammarah dan mencipta pelbagai alasan untuk membenci walau kesilapannya cuma seinci. Maka kerana itu persahabatan itu lebih besar hebatnya berbanding kecintaan.

Dia sahabat yang istimewa. Dia sahabat yang mengajar saya bagaimana untuk mengenal dunia bersama tauhid di jiwa. Dia yang mengajak saya mengenal akhirat menuju kecintaan yang darjatnya tak tergambar dengan kata. Kecintaan yang tidak akan membinasakan persahabatan saya dan dia. Saya tekad, apa pun yang terjadi saya tidak akan mengorbankan jalinan ini lagi hanya kerana cinta akan keinginan diri sendiri. Kebaikan yang dia lakukan terlalu besar buat saya, menutup segala lompong, menampal segala cacat dan cela.

Terima kasih sahabat. :')

Sunday, May 08, 2011

Derik Kerisek- Faisal Tehrani

Selesai. Ini kisah tentang pejuang. Ini kisah tentang Mujahiddin. Ia tentang sengsara jiwa Muslim di Palestine, di Chicago. Ini kisah nurani yang terseksa di Pattani dan di Kashmir. Ini kisah mentafsir makna perjuangan. Ini adalah kisah mencari Ar-Rahman.


Nushi, Za'im dan Ali. Mereka adalah pemuda Palestin yang sekian lama terperangkap jiwa dalam getir suasana di bumi anbiya' itu. Mereka punya semangat juang yang berbeza. Mereka memilih untuk membawa duka yang lara ke Chicago, bermohon agar dunia memberi simpati dan empati, berharap agar manusia mengubah persepsi. Tapi mereka silap! Chicago itu bukan tempatnya, itu sarang Yahudi yang merampas tanah mereka! Itu tempat Arnon Soffer yang bijak menabur fitnah, berharap Muslim berpecah belah sehingga luka lama terus bernanah!

"Kita wajib berjihad apabila kita bersyahadat." Nushi
"Tidak selalunya pula -keras dan bertenaga- terkadang bicara dan diplomasi, tolak ansur maksudku, masih boleh dipertimbangkan." Ali
"Menuntut ilmu juga jihad, berusaha, dan bergelut dalam bidang ekonomi pun jihad." Za'im

Naufal dan Mus'ab. Mereka juga dari Palestin. Berhijrah ke Madinah dengan jiwa yang mati. Sengsara mereka berbeza tetapi luka mereka sama sahaja. Kedua-duanya seperti hilang arah, cuba memenuhkan hati di kota Nabi. Javid pula menanggung derita Kashmir. Memegang puisi-puisi Iqbal, si penyair terkemuka Pakistan untuk mendidik diri. Detik berdarah semuanya menjadi sejarah. Dia saksi segalanya. Dia punya semangat yang berbeza. Berbekal puisi-puisi itulah, dia menarik tangan Naufal dan Mus'ab dari menyalahkan cerita susunan Tuhan.

"Ada pemerintah umat Islam yang mampu.. maksudku tetapi mereka sebenarnya pengkhianat!" Javid
"Di sini kerikil dan debu yang diterbangkan adalah kesempurnaan iman ribuan tahun." Naufal
"Barangkali aku terlalu mencintainya, terlalu melebihkannya, kerana itu Allah tiba-tiba merentapnya daripadaku secara mengejut." Mus'ab

Wan Erfan dan Norijah selalu resah dengan keadaan. Mereka dikatakan tidak faham erti perjuangan. Mereka selalu gusar dengan kekerasan, mungkin kerana tidak dibesarkan di tanah mayat bergelimpangan. Tok Wan, lelaki tua yang rasa cintanya pada tanah airnya cukup besar. Madinah adalah tanah yang memberi tumpang, tetapi Pattani adalah tanah darahnya tumpah. Dia dilahirkan di situ, dan mahu matinya juga di situ.

Abdullah dan Misbah, bersatu kerana cintakan Allah. Hati mereka berpadu kerana Allah itu satu. Mereka tidak gentar! Membiar Tuhan menjadi saksi cinta suci mereka. Mereka percaya, cinta pada jalan Allah adalah seperti mencintai Allah. Yakin mereka terlalu kuat, rindu pada syahid terlalu hebat. Jihad mereka dengan cara mereka.

"Dan aku pun buntu, mereka menyogokkan aku yang perjuangan itu kononnya pembunuhan, atau yang kekerasan itu menjadi halal keamanan dan yang berjihad itu menjadi haram keganasan." Norijah
"Insya-Allah, saya akan asuh anak ini dengan semangat jihad." Wan Erfan
"Ini cerita kita bersama. Cerita umat Melayu. Cerita umat Islam. Kalaupun kalian bukan Melayu dan bukan Islam, ini cerita yang lebih besar. Cerita tentang kemanusiaan." Tok Wan
"Saya cuma insan biasa. Kebetulannya saya lebih lurus dari orang lain. Itu saja." Abdullah
"Cinta kami berbeza sekali dengan manusia yang lain. Cinta kami belum badani, cinta kami tak juga emosi, cinta kami sebenarnya, cinta yang lebih indrawi. Semuanya oleh rasa." Misbah

Ini kisah pencinta agama.

Saturday, May 07, 2011

Malu

Benarlah. Aku bukan wanita yang baik. Dan terlalu jauh untuk menjadi solehah. Banyak perkara dalam hidup ini yang masih sama, yang masih belum diperbetulkan. Dari soal kematangan sehinggalah soal iman. Semuanya masih sama.


Adakah selama ini aku tidak bergerak? Entah. Kadang-kadang kita rasakan seperti kita sudah bergerak, dari satu titik ke satu titik. Padahal kita masih di titik yang sama, tidak berubah. Kadang-kadang kita rasakan kita sudah berubah, padahal kita hanyalah kita yang dahulu. Dan kadang-kadang kita berfikir bahawa kita sudah redha dengan kehidupan, padahal hati kita masih kerap menyoal Tuhan.

Hakikatnya, aku rasa malu. Malu pada Dia yang mencipta, malu pada kalian yang melihat dan mendengar. Aku malu kerana saban hari aku kian jauh. Aku hilang dalam riuh kota palsu. Aku hilang dalam debu halus yang membutakan mataku. Aku hilang dalam diriku yang dulu.

Aku punya banyak harapan. Aku ada pelbagai impian. Harapan dan impian aku semuanya baik-baik belaka. Aku ingin menujuMu Ya Allah. Cuma selalunya jalanku putus, aku selalu hilang arah. Aku selalu leka Ya Allah. Tapi aku tahu Ya Tuhanku, aku tahu Engkau tidak pernah jemu membantu aku. Bantulah aku lagi Ya Allah, bantulah. Kerana aku malu.


Saturday, April 30, 2011

International Book Fair 2011, PWTC

Assalamualaikum semua.


Jujurnya, saya malu hendak mengaku bahawa hobi saya yang kedua selepas menulis adalah membaca. Saya tidak yakin untuk menceritakan tentang 'hobi' ini kepada anda semua. Tapi apa yang saya paling pasti dan yakin, hati saya tidak keruan setiap kali ditayangkan dengan buku yang menggunung. Dalam hati sering saja saya angankan, seandainya saya punya banyak wang akan saya laburkan semuanya untuk buku-buku yang betul mencabar nafsu membeli saya. Serentak dengan itu juga saya selalu bertekad untuk menjadikan membaca sebagai rutin dan mengumpul bahan bacaaan sebagai 'hobi'.

Sejak di bangku sekolah lagi, saya tidak pernah tidak berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Tahun ini, seperti biasa saya gagahkan jua kaki melangkah ke sana walaupun sedang dalam minggu yang amat memberi tekanan. Dan hasilnya, berjaya membeli beberapa buah buku dan saya tak puas sebenarnya! Cuma kaki dah tak larat. T_T
Derik Kerisik- Faisal Tehrani

Tunggu Teduh Dulu- Faisal Tehrani

Perang Uhud- Abdul Latip Talib
He's one of my favourite Malay novelist! Err, atau mungkin sebab saya suka baca pasal Sejarah Islam. (:

And and, tidak dilupakan untuk promote novel pertama karya Khairulnizam Bakeri. Well, he's my senior in debate. Pecah is a good try and I recommend it for you guys to read. Sesiapa yang suka novel aksi, jenayah, konflik dan kasih sayang, Pecah is a good one to try. Boleh pi cari kat Book Fair, booth Fixi B58. And dengar cerita kat Kinokuniya pun dah ada dah. (:


Jom simpan semua buku-buku ni dan sambung baca Malaysian Legal System! T_T

Wednesday, April 13, 2011

Mawar-Perindu dan Kehidupan

Bus stop Mawar. Dia mengeluarkan handset dari dalam beg. Jam tiada, hanya telefon bimbitnya yang menjadi pengingat waktu. 8.12 pagi. Aduh! Ada lebih kurang 15 minit lagi sebelum kelas bermula. Dia jadi resah, kelibat bas Rapid bernombor 604 masih belum kelihatan. Lebih meresahkannya bila mengenangkan Puan Anisah yang merupakan seorang pensyarah yang sangat menepati masa. Manusia pula ramai membanjiri, pasti semua mahu cepat. Pasti berebut-rebut mahu memenuhkan isi bas sebentar lagi.


Handset dijeling sekali lagi. 8.18 pagi. Oh! Itu dia bas! Dia bergegas menuju ke arah pintu hadapan bas. Kad Rabbit dikeluarkan, seperti biasa bersama sekeping wang. Kali ini lima ringgit, bukan satu ringgit. Akhirnya dia berpeluang untuk menambah baki kad Rabbit sebanyak lima ringgit. Haihhh! Dia mengeluh lagi apabila masih berada di luar bas menanti manusia yang sedang berebut masuk. Setelah berhimpit-himpit barulah dia dapat melihat wajah pakcik pemandu bas tersebut.

Mesin kecil itu terus didekati. Dia menekan butang "tambah nilai" dan memasukkan wang kertas lima ringgit yang dikeluarkan tadi. Menanti arahan "sila sentuh kad anda" tiba-tiba wang tadi terkeluar semula. Aduh! Dia mengeluh lagi. Butang "tambah nilai" ditekan buat kali yang kedua. Malangnya wang tersebut terkeluar lagi. Kali ini dia mengeluh panjang tapi dia tidak berputus asa untuk mencuba buat kali yang ketiga. Dan akhirnya Alhamdulillah ada suara "sila sentuh kad anda". Kad disentuh, "tambah nilai anda berjaya."

Dia menuju ke ruang tengah dalam bas. Mencari kerusi kosong untuk diduduki. Tiada. Semuanya sudah diisi. Bas berhenti di perhentian pertama- FSPU. Dua penumpang turun tapi malangnya masih tiada kerusi yang dikosongkan. Perhentian kedua- padang kawad. Ramai yang turun dia bergegas duduk di kerusi yang kosong biarpun tempat yang dituju hampir tiba. Jam di handset dilihat lagi, 8.25 pagi. 5 minit lagi! Dalam hatinya meminta supaya bas dilajukan. Dia sudah terlambat.

Perhentian ketiga- Perindu. Alhamdulillah. Masih berbaki 2 minit. Dia berharap untuk sampai secepat yang boleh. Langkahnya laju menaiki anak tangga menuju ke bangunan Cempaka 1. Selagi lagi dia memanjat tangga untuk ke tingkat 1 bangunan itu. Dan akhirnya 8.33 pagi, "Maafkan saya Puan. Bas lambat sangat tadi." Dan dia dibenarkan duduk. Alhamdulillah sekali lagi. Begitulah rutin seorang pelajar, tunggu bas, naik bas, jalan ke fakulti. Cepat atau lambat adalah pilihan tapi yang penting sampai. Pernah sekali dua dia menjadi yang terawal tapi kebiasaannya menjadi yang terlambat.

Jelasnya, semua perkara dalam hidup ini menuntut kesabaran. Sabar ketika menunggu sesuatu seperti si dia yang menunggu bas, atau anda yang sedang menunggu seseorang. Sabar dengan kepelbagaian manusia, seperti bersabar dengan orang yang berebut masuk ke dalam bas, atau anda yang sedang bersabar dengan kepelikan sahabat-sahabat anda. Sabar dalam melakukan sesuatu, ibarat si dia yang berulangkali memasukkan duit ke dalam mesin walaupun gagal tetap dicuba, atau seperti anda yang sedang bersabar dalam menjadi seorang pelajar kerana semestinya pelbagai perkara yang sukar akan anda hadapi.

Sabar dalam menginginkan sesuatu, seperti kerusi kosong di dalam bas atau anda yang mempunyai banyak keinginan sebagai seorang manusia. Nikah misalnya. Dan banyak lagi perkara yang menuntut kesabaran dalam kehidupan kita. Saya tidak tahu dengan anda, tetapi saya percaya kesabaran itu membayar kebahagiaan yang tidak pernah dapat kita capai melalui pemikiran akal kita. Kesabaran itu bisa memberikan kenikmatan yang tidak pernah kita sangka. Dan saya percaya kesabaran itu adalah segala-galanya.

Doakan saya dapat bersabar dengan buku-buku yang menuntut untuk dibaca. Sabar menanti final habis untuk cuti selama 4 bulan. Yang lebih penting, doakan saya sabar dalam setiap perkara yang mendatang yang bisa menggugat keimanan saya. Amin...

Tuesday, April 12, 2011

Imtihan

Esok ada Constitutional Law 1 open book quiz and listening test 1 Bahasa Arab.
Lusa ada BEL 462 (Reading and Critical Thinking) second test.
Jumaat ni hari last kuliah. Then dah start study week.
Ni jadual periksa saya.

21 April 2011 (Thursday) 9 am-12 pm - Law 435 (Law of Torts 1)
23 April 2011 (Saturday) 9 am-12 pm - Law 436 (Law of Contract 1)
26 April 2011 (Tuesday) 2.15 pm-5 pm - Law 437 (Constitutional Law 1)
29 April 2011 (Friday) 8.30 pm-10.30 pm - CTU551 (Islamic and Asian Civilization)
3 May 2011 (Tuesday) 2.15 pm-5.15 pm - Law 431 (Malaysian Legal System 1)

Doakan segalanya dipermudahkan olehNya. Amin...

Saturday, April 09, 2011

Jauh




JAUH

Sepi jiwaku sepi kerna kau tiada di sisi
Sunyi hatiku sunyi tanpa kehadiranmu kasih
Doaku semoga dirimu bahagia

Aku yang kini jauh
Damba keampunanmu
Khilaf antara kita
Kan terlerai akhirnya
Bersama kasih kita dan cinta

Moga berbahagia meniti harimu yang indah
Setia kunanti tiba saatnya kitakan bersua
Doaku semoga dirimu sejahtera


Aku yang kini jauh
Damba keampunanmu
Khilaf antara kita
Kan terlerai akhirnya

Jauh kita terpisah dibatasi jarak dan masa
Dirimu tak pernah kulupa
Terus kunanti setia
Saat Indah kita bersama
Bersama kasih kita dan Cinta

Diriku yg kini jauh
Damba keampunan darimu
Semua khilaf antara kita
Kan terlerai jua akhirnya

Saturday, April 02, 2011

Ku tinggalkan semalam.


Mirwana- Semalam (Inspired by Yesterday- The Beatles)

Semalam, terukir peristiwa silam.
Kenangan tak bisa terpadam, ku terkenang oh semalam.
Sedetik, ku singkap di tirai memori.
Saat duga tiba menguji oh semalam telah pergi.
Tuhan, ampunkan segala dosa-dosa.
Moga hari esokku lebih sempurna.

Semalam, ku meniti jalanan suram.
Hampirku hanyut dan tenggelam, ku tinggalkan oh semalam.
Ku tinggalkan semalam.
Tuhan, ampunkan segala dosa-dosa.
Moga hari esokku lebih sempurna.

Semalam, ku meniti jalanan suram.
Hampirku hanyut dan tenggelam, ku tinggalkan oh semalam.
Ku tinggalkan semalam.
Kian menjauh dan semalam terus menjauh.
Takkanku berpaling lagi, kerana semalam pergi.

Semoga dosa semalam tidak berulang pada esok hari dan sepanjang hidup ini. Amin.

Friday, April 01, 2011

Rintihan seorang hamba.

Ini adalah rintihan seorang wanita yang menyerahkan seluruh jiwa dan hidupnya hanya untuk memupuk kecintaan pada Yang Maha Mencinta. Rintihan seorang Rabi'ah al-Adawiyyah.

"Ya Allah, Ini air mataku yang tumpah kerana menyesali dosa. Ini sujudku yang menginsafi rasa kehambaan diri. Ini tanganku yang memohon keampunan dan rahmatMu. Ini wajahku yang menghadap-Mu dengan rasa kehinaan. Air mataku, sujudku, tanganku dan wajahku ini sebagai saksi diakhirat, bahawa aku pernah merintih keampunan dariMu.

Jadikanlah air mataku, sujudku, tanganku dan wajahku ini sebagai pemayung ketika panas terik di Padang Mahsyar. Sesungguhnya tidak tertanggung olehku akannya. Jadikanlah air mataku, sujudku, tanganku dan wajahku ini sebagai pemberat ketika amalanku ditimbang. Sesungguhnya terlalu gentar hati ini untuk berhadapan dengan hisabMu. Jadikanlah air mataku, sujudku, tanganku dan wajahku ini sebagai penyelamat ketika dihumban ke dalam nerakaMu. Sesungguhnya tiada amalanku yang layak untuk menyelamatkan diri ini.

Tuhan, tiada amalanku yang dappat dipersembahkan sempurna kepadaMu kerana kebaikanku telah ditembusi kejahatanku. Melainkan hanya ini yang dapat aku persembahkan sebagai sebuah harapan; air mata penyesalan, sujud seorang hamba, tangan yang sentiasa mengharap rahmatMu dan wajah yang malu memandang-Mu.

Meskipun rayuan setinggi gunung namun kesangsian datang di celah harapanku padaMu. Apakah air mata yang mengalir seikhlas air mata penyesalan nabi Adam selama 200 tahun hingga bumi terbelah menjadi sungai? Apakah sujudku ini sehebat Uwais Al-Qarni yang merintih hingga dini hari? Apakah tanganku ini menadah serta bermohon seperti tangan Siti Mariam yang merayu ke hadrat Illahi? Apakah wajahku yang menghadap-Mu dengan rasa kehinaan? Semua kesangsian ini mendatangkan kegentaran di dadaku untuk menghadap-Mu tetapi hanya ini yang ada padaku."

Subhanallah. Ya Allah, jadikan kami hamba yang mencintaiMu melebihi dari cinta buat hambaMu. Amin.

Wednesday, March 30, 2011

Bumi, hati dan manusia.

Aku berdiri di tengah-tengah jalan yang tidak kulihat penghujungnya. Saat kaki aku memijak tanah itu, mataku terus melihat kehijauan rumput dan birunya langit, tangan kuletakkan di atas dada. Ada degup jantung yang aku dengar. Dan aku tahu, dalam dada ini ada seketul daging yang bernama hati.

Bumi

"Apakah kamu yang lebih sulit penciptaannya ataukah langit? Allah telah membinanya Dia meninggikan bangunannya lalu menyempurnakannya. Dan Dia menjadikan malam yang gelap pelita dan menjadikan siangnya terang benderang, dan bumi sesudah itu dihamparkannya. Ia memancarkan daripadanya mata airnya dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya, dan gunung-gunung dipancangkannya dengan teguh. Semua itu untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu." (Surah an-Naziat: 33)


Aku lihat diri, aku lihat bumi. Bumi adalah ciptaan Allah yang maha hebat. Di atasnya terpancar mata air yang bisa menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Jua terbina di atasnya gunung-ganang yang memberi lindung sejak Adam dan Hawa dipertemukan. Dan tersusun di setiap ruang, pokok-pokok yang memberi nafas buat insan. Bumi adalah ciptaan yang hebat, ia memberi kesenangan dan kemudahan buat keseluruhan ummat.

Tapi bagaimana bumi ini dijaga? Tangan-tangan manusia yang membakar api, memberi lompong pada ozon yang melindung. Bumi menjadi panas, sehingga isinya merasa terjejas. Kaki-kaki manusia yang mengejar pembangunan, tanah dipijak menjadi korban. Lautan yang indah menjadi gundah. Tangan dan kaki manusia yang memusnah.

Hati

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Aku pandang bumi, aku rasa hati. Hati ada kurnia Tuhan yang paling agung. Diletakkan iman dan nafsu bagi melengkapkan kejadian makhluk terulung. Hati itu yang memekarkan cinta pada Pencipta dan kasih sesama manusia. Ia yang menyuburkan sifat untuk terus bergelar hamba. Melahirkan gembira, sedih dan teruja bagi mewarnakan sebuah kehidupan. Ciptaannya jelas, untuk menerbitkan rasa bagi tiap-tiap perkara. Ia memanusiakan manusia.

Namun bagaimana kita menjaganya? Kaki yang menuju kejahatan meninggalkan kesan hitam di dalam hati, mewujudkan titik-titik noda yang akhirnya menggelapkan semua. Api ammarah yang membakar kesuburan hati dan jiwa, dengan dosa tangan yang tidak menghalang dosa yang dilihat dari tercipta. Kekosongan yang tidak pernah diisi dengan zikir padaNya. Semuanya menggelapkan dan mengotorkan hati. Tangan dan kaki manusia yang memusnahkan segalanya.

Manusia

Aku adalah manusia. Aku hidup di atas bumi Allah, dan aku punya seketul hati pemberian Allah. Kedua-duanya adalah dari Allah. Lalu aku lihat kedua-dua tanganku, aku pandang kedua-dua kakiku. Aku cuba menggerak-gerakkan ia dan aku terbayang selautan manusia berbuat perkara yang sama. Kita adalah manusia. Dari sebesar-besar bumi sehingga sekecil-kecil hati dalam diri, kitalah yang bertangungjawab dalam mencorakkan ia. Andai buruk jalan yang kita pilih, keindahan dan kesenangan yang bumi pernah berikan, sudah tidak tinggal sisa. Andai kotor jalan yang kita mahu, tidak ada lagi rasa kasih dan cinta pada Pencipta.

Bumi, hati dan manusia. Andai pencemaran bumi ini merentas dunia, maka kekotoran hati ini meliputi diri setiap manusia. Bukankah manusia itu sebaik-baik ciptaan, maka mengapa perlu merosak dan memusnah kebaikan ciptaanNya yang lain? Kita punya jawapan.

Sunday, March 27, 2011

Kun fayakun.

2 rakaat. Setelah tangan ditadah, dia mengusap wajah. Membuang segala noda dan cela. "Alhamdulillah, selesai subuh aku tunaikan." Bisik hatinya. Sejadah itu segera dilipat. Dia yang masih bertelekung itu terus menuju ke jendela kamar. Tirai itu diselak, suasana di luar kelihatan tenang dan damai. Burung-burung bercicip mesra, meninggalkan sangkar mencari bahagia. Titis embun yang menumpang daun pada malam hari, jatuh satu persatu menyembah bumi. Langit yang cerah itu seperti membawa khabar gembira buat pagi. Lihat, bagaimana Allah menciptakan alam untuk manusia teladani dengan nikmat akal yang Allah beri. Dia pergi ke sebuah almari lama. Tafsir Quran dicapai, lalu Surah as-Syura ayat 12 segera dibuka.


"Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."


Berulangkali ayat itu diulang dan dibaca. Ada kerut didahi, dia sedang memikirkan nasib diri. Terngiang ditelinganya suara Dr. MAZA dalam ceramah beliau yang baru sahaja didengarnya malam tadi melalui video. Tawakkal adalah perkara terpenting dalam soal aqidah, bagaimana insan bergantung hanya pada Allah Taala. Dimana manusia menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah uruskan.

Saat itu, satu persatu perancangan hidup yang telah lama dirangka datang menjelma. Jua matlamat yang bertahun lama dia angankan. Segalanya untuk kebahagiaan dunia. Segalanya tampak jelas hari ke hari, setelah dia meningkat dewasa. Cita-cita seakan mudah digapai, hanya dengan menurut aturan dunia. Bahagia yang dikejar seolah di hadapan mata, setelah pelbagai rencana dia lakarkan. Segalanya nampak teratur dan mudah. Tapi mengapa hatinya tidak tenang selama ini? Mengapa jiwanya terasa kosong dan sepi? Mengapa dia sentiasa merasa tidak cukup, walau setelah Tuhan memberikan rezeki? Dia diam, membiar nikmat akal dan hati untuk menjawap soalan demi soalan yang datang bertalu padanya.

Setelah itu, dia jadi kecewa. Jiwanya sebak, ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya. Apakah sebenarnya bahagia yang dia cari? Apakah sebenarnya yang dia kehendaki? Manusia mungkin punya definisi bahagia yang berbeza. Semuanya bergantung pada keinginan hati dan kadangkala berserta nafsu perosak diri. Namun dalam segala bentuk definisi dan erti, apakah sebenarnya bahagia yang hakiki?

"Dimana penyerahan jiwamu pada Tuhan yang mencipta kamu dan rezeki yang diberikan kepadamu selama ini? Dimana tawakkal yang sepatutnya hadir dalam dirimu buat Tuhan yang merencana dan mentadbirurus dirimu selama hidupmu ini?"

Dia angguk setuju. Dia tiada tawakkal pada Tuhannya selama ini. Kerana dia merasa usaha manusia yang dia punya mampu merealisasikan bahagia yang dia damba. Kerana dia yakin dengan rencana yang dia rangka bisa merealitikan segala yang dia angan-angankan. Dia tiada penyerahan jiwa pada yang lebih mengetahui tiap-tiap sesuatu. Dia angguk setuju lagi. Tafsir ditangan diselak lagi. At-Talaq, ayat 3.

"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya dan (ingatlah); siapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

Cicip burung masih kedengaran. Pagi Ahad sebegini mungkin pagi bersenang lenang bagi manusia seperti kita. Tapi tidak buat sang burung yang masih kekal melakukan rutin pagi, mencari rezeki dengan penuh tawakkal dalam diri. Burung tidak punya akal seperti kita, tapi masih berzikir pada yang Maha Esa. Menyerahkan segalanya pada pentadbir alam untuk mengurus dirinya yang kerdil itu. Itulah penyerahan jiwa yang sebenarnya. Itulah tawakkal buat Sang Pencipta.

Telekung dibuka, tafsir disimpan. Hikmah dan teladan disemat. Tawakkal disemai. Bahagia dibentuk bersama penyerahan kepadaNya. Dia serahkan segalanya kepada Allah, Tuhan yang membahagi-bahagikan rezeki. Kerana bahagia yang dia cari, Allah yang beri. Bila Allah kata jadi, maka jadilah!

Monday, March 21, 2011

Kali ini nekad!

Ada lapangan kasih yang terhampar di hadapanku. Saat itu aku buntu. Kecewa dengan banyak perkara yang singgah dalam kehidupan yang tidak terlalu panjang ini. Tapi tika mataku terpandang pada luasnya hamparan itu, aku nekad bahawa ini adalah masa yang Tuhan telah aturkan buat aku. Aku nekad untuk mencari ruang dan nafas untuk bergerak. Dan aku tahu nekad ini bukanlah sesuatu yang mudah.


Dalam ketahuan aku tentang payahnya perjalanan ini, aku tidak boleh berhenti. Aku mahu kakiku kuat melangkah dan berlari. Sedang aku yakin nekad ini memohon bayaran pengorbanan yang menggunung tinggi, aku tidak akan mengaku kalah lagi. Biar ini nekad yang terakhir.

Apapun tanggapan manusia tentang bahagia, aku pasti bahagia yang ingin aku tuju ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Sakit dan pedih itu mungkin kebiasaan yang bakal aku rasa. Sedu dalam tangis itu mungkin menjadi rutin dalam mengejar bahagia ini nanti. Apapun yang akan terjadi, aku sudah bilang aku nekad! Dan aku yakin dengan nekad ini, Allah akan segera membantu memberi ketetapan buat hatiku untuk terus berjuang dan untuk tidak berhenti.

Sunday, March 13, 2011

Pray for Japan.

Langit menjadi semakin keruh. Ketulan-ketulan asap kelihatan cepat merebak ke seluruh ruang udara. Runtuhan rumah dan bangunan kian membukit tingginya. Puluhan ribu besi bergerak ciptaan manusia bergelimpangan penuh debu permukaannya. Api merah yang membakar nyawa, gelung ombak menelan pepohonan rimbun. Angin kencang meniup cengkaman rumput. Akhirnya, apa lagi yang bersisa? Tangisan dan jeritan penuh bermohon pada Sang Pencipta.


Hakikatnya, kita bukan sesiapa untuk menghukum mereka. Allah, Tuhan manusia! Maka dia yang berkuasa. Biarlah apa pun yang menjadi punca bencana ini, biar kita yang melihat mengambil iktibar bukannya mengeji. Bukankah kadangkala dengan melihat derita dan sengsara orang lain bisa membuat kita terfikir bahawa dunia ini bukan milik kita dan hidup ini hanya sementara? Aku pernah bilang, ini bukan bukti ketidakadilan Tuhan. Ini adalah rencana kehidupan yang memberi adil pada setiap manusia yang berfikir.

Ya Allah yang Maha Pengampun, andai letupan ini adalah letupan ammarahMu pada kami yang leka dalam keasyikkan duniaMu, maka kau ampunkanlah kami dan jauhkanlah kami dari keasyikkan itu. Ya Rabbi, jika limpahan ombak ini adalah untuk membasuh dosa kami, lalu kau hilangkanlah segala daki yang melekat pada hati-hati kami dan kau hindarkanlah kami dari berbuat dosa lagi. Ya Tuhan, kalau gegaran ini adalah untuk menjentik getar kekuatan dalam jiwa kami untuk kau uji, maka kau tiupkanlah kekuatan yang berpanjangan untuk kami tempuh hidup ini.

Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah saudara-saudara kami dari segala bencanaMu di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabb!

Tuesday, March 01, 2011

Kecil-Besar

Cita-cita besar adalah untuk orang yang besar pengharapannya. Cita-cita besar bergabung dengan keyakinan yang besar pada Yang Menciptanya. Cita-cita besar termuncul di hujung kisah berapa besar taburan usahanya. Cita-cita besar selalu besar kesannya.


Tatkala manusia besar bisa mendapatkan yang besar-besar, tidak ada penafian dari Tuhan untuk manusia sekecil kita merasa nikmat yang besar-besar juga. Namun selalunya dalam ruang kecil dan terasing, manusia sekecil kita ini lebih cenderung untuk memilih yang kecil-kecil. Kononnya selesa dengan apa yang didapati tetapi kerapnya kerana takut tak terdaya memikul yang besar- yang selalunya berat, takut tak larat!

Hakikatnya, ini semua pilihan dan kemahuan. Sentiasa bercita-cita besar tanpa usaha yang besar itu menakutkan bagi semua manusia- kudrat tidak diguna, kemahuan sentiasa ada. Tapi tewas dengan takut untuk bercita-cita besar adalah lebih mengerikan untuk manusia sekecil kita. Lihat, bukan Tuhan yang menafikan tapi kita- manusia sekecil kita.

Tuesday, February 22, 2011

Hakikat kemahuan.

Riuh dalam sunyi memekakkan telinga yang tuli

Dimanakah kita wahai kasih?
Aku seolah menumpang di badan sendiri
Dan engkau kulihat jauh walau jarak hanya seinci
Butakah aku atau engkau yang buta hati?
Engkau biarkan aku hidup dengan jiwa yang mati.

Tidak! Aku bukan kecewa dengan takdir Tuhan!
Aku cuma gusar dengan debu kehidupan
Ia memedihkan mataku, hingga merah saga jadi warnanya
Ia juga mengkesatkan kakiku sampai berat kurasa untuk melangkah
Tapi engkau seperti bahagia bermain dengan debu seolah ia salju
Dan aku melihat dari jauh. Benar, aku cemburu!

Namun bukan niatku untuk merampas rasa bahagia itu
Aku hanya mahu secebis kasih yang bisa engkau kongsikan
Agar rasa itu menjadi rasa yang sama di hatiku dan di hatimu.

Bantu aku!

Hari ini adalah tanggal yang tidak patut aku simpan dalam fikiran.

Ia membawa aku jauh ke dalam kenangan yang tidak pernah akan suram.
Ia menyemarakkan keasyikan rinduku pada masa silam.
Ia mengadun rasa kasih dan cintaku pada kebahagiaan yang pernah aku rosakkan.
Ia mencengkam kalbuku untuk tidak beredar keluar dari memori semalam.
Ia menghalang aku melihat ke hadapan tanpa memaling meninggalkan harapan.
Ia menjentik tekad yang baru sahaja bisa aku genggam.

Ya Tuhanku, jangan jadikan dia penyebab kepada kesedihan dalam hidupku,
kerana dialah insan yang pernah mencipta bahagia dalam jiwaku.
Ya Rabbi, jauhkan dia dari rasa benci dek derita yang aku cipta sendiri,
kerana sesungguhnya dia adalah cinta yang tidak pernah memberi derita padaku.
Ya Allah, bantu aku!

Aku mohon ini nota terakhir dariku buatmu.

Sunday, February 20, 2011

Berdoalah.

Jam 3. Setelah aku baca kembali setiap butir kata yang dia lafazkan dulu, kini aku mengerti. Hakikatnya, keadaan tidak akan menjadi seperti dulu lagi. Segalanya sudah berakhir disini, dan aku redha. Kali ini biar redha ini berpanjangan dan punya penghujung. Jangan hanya muncul seketika kemudian hilang dalam samar perasaan. Jangan cuma tiba kemudian lenyap entah ke mana. Aku mahu ia kekal dalam hati membawa aku ke pengakhiran yang abadi. Cuma untuk kekal dalam redha ini, bukan kenangan itu yang perlu aku kikis dan buang dari hati. Aku hanya perlu keluar dari lipatan kenangan yang selama ini menjadi saksi raungan dan tangisanku.


Tuhanku, tunjukkan aku jalan yang lurus untuk aku keluar dari kegelapan hidup. Tunjukkan aku jalan hakiki agar bisa aku berdiri dan tidak rebah lagi. Ya Rabbi, aku sudah lelah mencari lalu yakinkanlah aku untuk terus menunggu. Aku terlalu penat menanti maka kekalkanlah aku dalam pasrah bersulam redha dariMu. Ya Rabbul 'Izzati, berikanlah yang terbaik buatku dan seluruh hambaMu. Amin...

15 minit. Doa ini ditulis buat aku, dia dan kamu.

Wednesday, February 16, 2011

Jom senyum.

Rasa.

Rasa itu belum mati.
Cuma aku simpan ia dalam di dasar hati.
Aku tidak mahu ia pergi dengan mencari pengganti.
Aku mahu ia pergi dengan sendiri.

Hati.

Hatiku jua belum mati.
Ia kosong namun tidak minta diisi.
Hatiku mahu menyendiri.
Mahu hidup dalam sepi.

Rindu.

Rinduku masih berbaki.
Sayangku apatah lagi.
Namun untuk apa aku tangisi?
Rindu dan sayang yang semakin hilang saban hari.

Okay bye. Geli dengan diri sendiri.
Okay bye. Tajuk lebih geli dan mengada.

Monday, January 31, 2011

Kenduri Kesyukuran

Terima kasih pada yang sudi hadir. Segala kekurangan mohon kemaafan. Jemput datang lagi, rumah sentiasa terbuka. (:









Hanya sempat bergambar dengan manusia-manusia di atas. FS Yahaya, Dyla Kamil, Nurus Sakinatul Fikriah dan Syuhada Amee. (Semua nama FB) Haha.

Credit goes to; FS and Dyla. (:

Saturday, January 22, 2011

Buat kamu dan Dia.

Saat itu, aku tidak tahu bagaimana untuk menceritakan rasa yang hebat bermain dalam kalbuku. Aku katup rapat mataku, dan aku buka semula sambil dalam hati memohon untuk berada dalam realiti. Walau samar padanganku pada dunia, aku yakin ia adalah realiti yang sedang aku duduki. Cuma aku terasa seperti di awangan, semuanya kosong dan ringan. Satu lagi debar dan takut aku hilang dan lenyap. Namun hanya ada satu kata yang tidak henti-henti aku ucap- Terima kasih kalian, terima kasih Tuhan!

Buat kalian, aku masih tidak boleh lupa tiap-tiap satu kalimah yang kalian pernah kongsikan bersama buat aku yang sedang hilang arah dalam menciptakan rasa sabar dan redha dihati. Bagaimana untuk aku biarkan semua itu luput begitu sahaja sedangkan ia adalah ibarat lampu yang membantu menerangi jalanku saat aku tidak nampak apa-apa di depan mata sendiri? Aku tidak akan begitu sahaja membiarkan doa-doa yang kalian titipkan semata-mata untuk melihat aku bahagia. Cuma aku sudah tidak punya cara untuk membalas segala apa yang telah kalian berikan hanya untuk sekuntum senyuman dari aku. Andai bisa aku balas semuanya, aku akan melakukannya.

Tuhanku, aku sudah tidak punya kata syukur untuk aku luahkan dan gambarkan dalam bacaan doa ketika sujudku. Sesungguhnya rahmat dan rezeki yang Engkau limpahkan ini terlalu besar untuk hamba sekerdil aku. Ya Rabbi, aku sudah keputusan aksara dalam menyusun kata kasih dan cintaku yang tidak seberapa ini padaMu, Tuhanku yang Maha Satu. Kerana sesekali aku merasakan keindahan nikmat ini tidak tertanggung oleh insan hina yang bergunung tinggi dosanya seperti aku. Namun satu perkara yang pasti, semua ini hanya menambah keyakinan dan kepastianku pada setiap janji-janjiMu. Kasih sayang yang tidak pernah Engkau hilangkan ini yang telah menambah cinta dan rinduku padaMu. Tuhan, terimalah kata syukur dariku- Alhamdulillah!

Tika ini, aku cuma ingin menjadi manusia yang tidak berputus asa kerana aku mahu selalu yakin dengan Dia yang tidak pernah putus-putus memberikan kasih melalui kalian yang aku cinta.

Friday, January 14, 2011

Sabarlah hati.

Alunan Ar-Rahman mengejutkan aku dari tidur. Ini adalah deringan jam loceng yang sangat indah, yang sesekali menerbitkan jernih kaca di balik kelopak mataku. Fikiranku tidak melayang, tetapi aku tidak tahu kemana ia menghilang. Yang pasti ia bukan di sini. Ia seperti sudah pergi bersama ayat-ayat Tuhan yang baru aku dengar tadi.


Aku tidak mahu memburuk-burukkan tempat ini, kerana ini juga tempat aku meneroka ilmu. Cumanya, aku seakan tidak mampu untuk berada di sini lebih lama. Hatiku bukan di sini, jiwaku apatah lagi. Setiap hari berlalu begitu sahaja, tanpa ada memori yang aku tinggalkan dalam kotak fikiran dan ruang jiwaku.

Aku mahu menangis sekuatnya! Tapi aku tidak mahu kesedihan ini menjadi punca kesuraman ilmu yang sedang aku pelajari. Anehnya, di dalam ketidakmahuan ini air hangat itu tetap deras mengalir. Setiap aliran itu menceritakan kepayahan sekeping hati yang selalu menanggung sakit. Aku penat, tapi aku tidak boleh duduk berehat!

Azan sudah berkumandang, merdu suara muazin melafazkan keagungan Tuhan. Fikiranku masih belum di sini. Mungkin kali ini pergi bersama keasyikkan lafaz dan kesaksian manusia yang sedang berlari untuk ketemu dengan Illahi.

"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu yang kamu mahu dustakan?" (Ar-Rahman: 60-61)

Bersabarlah!

Saturday, January 08, 2011

Selagi belum mati.

Aminah menahan sakit yang menghempap dadanya, seolah menular di seluruh kepalanya. Diurut-urut tengkuk dan lehernya perlahan, konon untuk mengurangkan sakit yang ditanggung. Ada titis keringat yang jatuh, bukti Aminah sedang manahan sakit. Ini bukan kali pertama Aminah diserang sakit yang sebegini rupa. Ini entah kali keberapa. Aminah pun tidak pasti.


Tapi yang pasti sakit ini Aminah mahu tanggung sendiri. Jangan sampai ayah dan ibu dapat menghidu bau kerut di dahi yang Aminah cuba sorokkan dari mereka saban hari. Mengenang ayah ibu, mudah sahaja mata gadis itu berkaca, bergenang menahan air hangat itu turun membasahi pipi. Walau sakit itu bisa ditutup dengan senyum ceria, kekesalan pada ayah dan ibu tidak pernah putus dalam gambaran hati Aminah. Hanya air mata mampu bercerita.

Entahlah. Aminah sendiri tidak mampu menceritakan dengan rinci. Sahihnya, Aminah merasakan terlalu banyak kesusahan yang telah dia bawa dalam rumah ini. Lama Aminah bermenung, mengenang nasib. Tiba-tiba pandangannya jadi balam. Dunia seakan berputar laju, yang Aminah lihat hanya wajah ayah dan ibu. Di mulut terkumat-kamit pohon ampun, berselang-seli dengan syahadat memberi kesaksian pada Tuhan dan Rasul. Hatinya yakin, ini saat kematianku! Gelap. Lampu neon pun bakalan tidak mampu menerangi liang itu.

Di dimensi yang lain, ada seorang tua mengucup dahi mayat itu. Air matanya laju, hatinya sepi dan pilu. Dalam esak si tua berbicara, "Ibu sudah lama memaafkanmu. Dia juga menerima taubatmu, nak."

Selagi belum mati, pintu maghfirat tidak pernah tertutup. Bawalah gugusan kunci untuk kau buka pintu itu.

Monday, January 03, 2011

Hujan.

Pagi ini hujan. Aku semahunya memujuk hatiku; ini adalah hujan rahmat. Sepanjang perjalanan ke kelas tadi puas aku berkata dalam hati; ini adalah kesusahan sebelum kesenangan, ini adalah keperitan sebelum kemanisan.


Dalam lebat hujan, hatiku meronta mahu menangis! Biar, biar air mataku deras mengalir. Dalam esak hujan ini, tiada siapa akan tahu gelora duka di hatiku. Tiada siapa yang dapat melihat titis-titis air mataku. Tapi bila melihat kesungguhan di balik wajah sahabat-sahabatku, buat aku tersentak!

Bagaimana dalam keadaan suram ini mereka boleh redha dengan kekalahan? Bagaimana dalam keluh kesah ini, mereka kelihatan tenang merancang kehidupan? Dan aku? Terus merungut dan mencari silap rezeki yang Allah limpahkan padaku. Astaghfirullah. Aku sudah jauh dari redha, Ya Allah.

Ya Allah, Ya Quddus dekatkan hatiku dengan redha yang kian menjauh. Ya Ghaffar, ampunkan dosaku yang tidak terhitung banyaknya. Ya Razzaq, janganlah Kau putuskan rezeki buat hamba-hambaMu. Ya Khabir, kurniakanlah aku apa yang tersirat di kalbuku. Amin Ya Rabb.

Hujan sudah reda, aku lihat sinar mentari dari jendela kamarku.