Percaya atau tidak, akan ada satu garis masa dalam seluruh hidup kita di mana kita berasa seperti tidak tahu apa-apa. Sedangkan ketika itu kita bukan bayi kecil yang baru dilahirkan, atau lebih tepat yang baru mengenal dunia. Tapi lagak kita seperti manusia yang paling jahil yang tidak tahu siapa diri kita, yang tidak kenal siapa di sekeliling kita, yang tidak faham dengan apa yang kita rasa, yang tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku pada diri sendiri.
Saat itu jiwa terasa kosong, tetapi dada akan sakit bagaikan mahu pecah. Fikiran akan melayang, tetapi hati mahu sekali ia kembali mengingati Tuhan. Jantung sesekali degupnya laju, tangan jadi dingin melawan perasaan. Mata akan sentiasa terasa hangat, tetapi setitik air mata pun tidak gugur untuk melepaskan tangisan. Tika itu, dunia yang bingit terasa sepi seperti hidup di alam sendiri. Hidup jadi tidak keruan seolah sedang mencari sesuatu yang hilang.
Ini mungkin pergelutan antara diri dengan perasaan. Sedih, sebak, syukur, kesal, kosong, semuanya bagai mahu bersatu dalam sekeping hati yang buntu. Sehingga tidak tahu apa yang diri sendiri mahu. Tika itu juga, jika kita memaksa perasaan supaya kembali kepada ar-Rahman tanpa apa-apa paksaan Tuhan akan datang dekat dengan kita. Cuma apabila Dia datang dekat, kita sendiri yang akan merasa seperti Dia semakin menjauh dari kita.
Sehingga amal ibadah yang tidak pernah kita lakukan dahulu, kita rasakan seperti tidak mempunyai apa-apa makna. Seakan tidak cukup untuk menampung segala dosa dan noda yang telah kita lakukan dahulu, sewaktu kejahilan jelas ada dalam diri kita. Sehingga banyak perkara yang kita ingin lakukan, yang kita ingin kongsikan agar walau tidak memberi manfaat kepada sesiapa tetapi bisa memberi manfaat pada jiwa mati kita, kita tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.
Sehingga kita tidak dapat dan tidak tahu bagaimana untuk menceritakan segala rasa yang bermain dalam hati dan jiwa kita ini kepada sesiapa. Kerana yang pernah berada dalam kekesalan sahaja yang akan tahu bagaimana pedihnya sesal itu. Kerana hanya mereka yang pernah mengalami kekosongan akan memahami bagaimana sepinya kekosongan itu.
Dan jika ada manusia yang tidak sampai pada garis masa ini, mereka perlu bersyukur tidak terkata. Perasaan ini payah, berat dan tidak tertanggung oleh insan sekerdil kita. Saya betul tidak tahu tentang apa yang saya rasa. Jika kalian pernah mengalami apa yang sedang saya alami, bantulah saya untuk mengubati jiwa.
0 Yorum var:
Sen de yaz