BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, May 08, 2011

Derik Kerisek- Faisal Tehrani

Selesai. Ini kisah tentang pejuang. Ini kisah tentang Mujahiddin. Ia tentang sengsara jiwa Muslim di Palestine, di Chicago. Ini kisah nurani yang terseksa di Pattani dan di Kashmir. Ini kisah mentafsir makna perjuangan. Ini adalah kisah mencari Ar-Rahman.


Nushi, Za'im dan Ali. Mereka adalah pemuda Palestin yang sekian lama terperangkap jiwa dalam getir suasana di bumi anbiya' itu. Mereka punya semangat juang yang berbeza. Mereka memilih untuk membawa duka yang lara ke Chicago, bermohon agar dunia memberi simpati dan empati, berharap agar manusia mengubah persepsi. Tapi mereka silap! Chicago itu bukan tempatnya, itu sarang Yahudi yang merampas tanah mereka! Itu tempat Arnon Soffer yang bijak menabur fitnah, berharap Muslim berpecah belah sehingga luka lama terus bernanah!

"Kita wajib berjihad apabila kita bersyahadat." Nushi
"Tidak selalunya pula -keras dan bertenaga- terkadang bicara dan diplomasi, tolak ansur maksudku, masih boleh dipertimbangkan." Ali
"Menuntut ilmu juga jihad, berusaha, dan bergelut dalam bidang ekonomi pun jihad." Za'im

Naufal dan Mus'ab. Mereka juga dari Palestin. Berhijrah ke Madinah dengan jiwa yang mati. Sengsara mereka berbeza tetapi luka mereka sama sahaja. Kedua-duanya seperti hilang arah, cuba memenuhkan hati di kota Nabi. Javid pula menanggung derita Kashmir. Memegang puisi-puisi Iqbal, si penyair terkemuka Pakistan untuk mendidik diri. Detik berdarah semuanya menjadi sejarah. Dia saksi segalanya. Dia punya semangat yang berbeza. Berbekal puisi-puisi itulah, dia menarik tangan Naufal dan Mus'ab dari menyalahkan cerita susunan Tuhan.

"Ada pemerintah umat Islam yang mampu.. maksudku tetapi mereka sebenarnya pengkhianat!" Javid
"Di sini kerikil dan debu yang diterbangkan adalah kesempurnaan iman ribuan tahun." Naufal
"Barangkali aku terlalu mencintainya, terlalu melebihkannya, kerana itu Allah tiba-tiba merentapnya daripadaku secara mengejut." Mus'ab

Wan Erfan dan Norijah selalu resah dengan keadaan. Mereka dikatakan tidak faham erti perjuangan. Mereka selalu gusar dengan kekerasan, mungkin kerana tidak dibesarkan di tanah mayat bergelimpangan. Tok Wan, lelaki tua yang rasa cintanya pada tanah airnya cukup besar. Madinah adalah tanah yang memberi tumpang, tetapi Pattani adalah tanah darahnya tumpah. Dia dilahirkan di situ, dan mahu matinya juga di situ.

Abdullah dan Misbah, bersatu kerana cintakan Allah. Hati mereka berpadu kerana Allah itu satu. Mereka tidak gentar! Membiar Tuhan menjadi saksi cinta suci mereka. Mereka percaya, cinta pada jalan Allah adalah seperti mencintai Allah. Yakin mereka terlalu kuat, rindu pada syahid terlalu hebat. Jihad mereka dengan cara mereka.

"Dan aku pun buntu, mereka menyogokkan aku yang perjuangan itu kononnya pembunuhan, atau yang kekerasan itu menjadi halal keamanan dan yang berjihad itu menjadi haram keganasan." Norijah
"Insya-Allah, saya akan asuh anak ini dengan semangat jihad." Wan Erfan
"Ini cerita kita bersama. Cerita umat Melayu. Cerita umat Islam. Kalaupun kalian bukan Melayu dan bukan Islam, ini cerita yang lebih besar. Cerita tentang kemanusiaan." Tok Wan
"Saya cuma insan biasa. Kebetulannya saya lebih lurus dari orang lain. Itu saja." Abdullah
"Cinta kami berbeza sekali dengan manusia yang lain. Cinta kami belum badani, cinta kami tak juga emosi, cinta kami sebenarnya, cinta yang lebih indrawi. Semuanya oleh rasa." Misbah

Ini kisah pencinta agama.

0 Yorum var: