BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 12, 2011

Terima kasih sahabat.

Malam ini malam Jumaat. Malam ini malam syahdu. Usai Maghrib, saya capai surah Yasin di rak buku. Alhamdulillah, bahan bacaan kian bertambah. Saya jadi suka. Saya lalu duduk di birai katil, dengan posisi yang paling selesa. Membuka Yasin lalu memulakan bacaan dengan Al-Fatihah, selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ayatul Kursi. Selesai semua, lalu Yasin segera saya baca. Yaa Sin, ayat pertama.


Entah kesedihan apa yang menyelubungi saya sewaktu kalam Allah itu saya tuturkan. Hati saya menjadi terlalu sebak. Saya cuba mencari fokus bagi mengkhatamkan bacaan. Selesai Yasin saya baca, saya fikir dalam-dalam. Saya pejamkan mata, membayang apa yang berlaku pada saya hari ini, semalam, kelmarin dan sebelumnya. Saya cuba mencari titik pemula tentang apa yang sedang mengganggu saya.

Di sisi saya ada sebuah novel yang sedang saya baca. Tunggu Teduh Dulu tulisan Faisal Tehrani. Saya selak halaman yang sudah saya baca, tepat saya terlihat mutiara kata. "Khullah atau persahabatan itu tingkatnya lebih tinggi daripada mahabbah atau kecintaan." Saya jadi yakin, kata ini yang terlalu memberi kesan pada saya. Sehingga terbawa-bawa dalam bacaan Yasin sebentar tadi. Saya renung kata-kata itu, saya cuba mentafsir. Benar, saya rindukan seorang sahabat. Lalu saya simpan tekad, biarlah apapun yang terjadi saya sudah bersedia untuk memaafkan. Saya pohon dalam doa terakhir sebelum saya katup kembali Tunggu Teduh Dulu, "Tuhanku semaikan keikhlasan dalam jiwaku!"

Tuhan itu Maha Kaya, saya dengan tiba-tiba punya kekuatan untuk memulakan bicara. Saya yakin kekuatan itu datang dariNya dengan penuh kasihan dan bermurah hati pada hambaNya. Bicara kami jadi syahdu, saya sebak tidak terkata. Biar malam ini menjadi saksi saya sedang menunduk pada limpahan kasih Tuhan yang tidak pernah terhitung banyaknya. Saya terkesan, dan cuba mencari apa lagi tafsiran kata-kata yang memberi saya keyakinan itu.

"Khullah atau persahabatan itu tingkatnya lebih tinggi daripada mahabbah atau kecintaan." Kecintaan itu sendiri punya pelbagai tafsiran. Kecintaan saya pada diri sendiri selama ini menebalkan ego, mengorbankan sebuah jalinan kemesraan yang Tuhan kurniakan buat saya. Kecintaan saya pada diri sendiri yang menyemarakkan ammarah dan mencipta pelbagai alasan untuk membenci walau kesilapannya cuma seinci. Maka kerana itu persahabatan itu lebih besar hebatnya berbanding kecintaan.

Dia sahabat yang istimewa. Dia sahabat yang mengajar saya bagaimana untuk mengenal dunia bersama tauhid di jiwa. Dia yang mengajak saya mengenal akhirat menuju kecintaan yang darjatnya tak tergambar dengan kata. Kecintaan yang tidak akan membinasakan persahabatan saya dan dia. Saya tekad, apa pun yang terjadi saya tidak akan mengorbankan jalinan ini lagi hanya kerana cinta akan keinginan diri sendiri. Kebaikan yang dia lakukan terlalu besar buat saya, menutup segala lompong, menampal segala cacat dan cela.

Terima kasih sahabat. :')

0 Yorum var: