BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, April 13, 2011

Mawar-Perindu dan Kehidupan

Bus stop Mawar. Dia mengeluarkan handset dari dalam beg. Jam tiada, hanya telefon bimbitnya yang menjadi pengingat waktu. 8.12 pagi. Aduh! Ada lebih kurang 15 minit lagi sebelum kelas bermula. Dia jadi resah, kelibat bas Rapid bernombor 604 masih belum kelihatan. Lebih meresahkannya bila mengenangkan Puan Anisah yang merupakan seorang pensyarah yang sangat menepati masa. Manusia pula ramai membanjiri, pasti semua mahu cepat. Pasti berebut-rebut mahu memenuhkan isi bas sebentar lagi.


Handset dijeling sekali lagi. 8.18 pagi. Oh! Itu dia bas! Dia bergegas menuju ke arah pintu hadapan bas. Kad Rabbit dikeluarkan, seperti biasa bersama sekeping wang. Kali ini lima ringgit, bukan satu ringgit. Akhirnya dia berpeluang untuk menambah baki kad Rabbit sebanyak lima ringgit. Haihhh! Dia mengeluh lagi apabila masih berada di luar bas menanti manusia yang sedang berebut masuk. Setelah berhimpit-himpit barulah dia dapat melihat wajah pakcik pemandu bas tersebut.

Mesin kecil itu terus didekati. Dia menekan butang "tambah nilai" dan memasukkan wang kertas lima ringgit yang dikeluarkan tadi. Menanti arahan "sila sentuh kad anda" tiba-tiba wang tadi terkeluar semula. Aduh! Dia mengeluh lagi. Butang "tambah nilai" ditekan buat kali yang kedua. Malangnya wang tersebut terkeluar lagi. Kali ini dia mengeluh panjang tapi dia tidak berputus asa untuk mencuba buat kali yang ketiga. Dan akhirnya Alhamdulillah ada suara "sila sentuh kad anda". Kad disentuh, "tambah nilai anda berjaya."

Dia menuju ke ruang tengah dalam bas. Mencari kerusi kosong untuk diduduki. Tiada. Semuanya sudah diisi. Bas berhenti di perhentian pertama- FSPU. Dua penumpang turun tapi malangnya masih tiada kerusi yang dikosongkan. Perhentian kedua- padang kawad. Ramai yang turun dia bergegas duduk di kerusi yang kosong biarpun tempat yang dituju hampir tiba. Jam di handset dilihat lagi, 8.25 pagi. 5 minit lagi! Dalam hatinya meminta supaya bas dilajukan. Dia sudah terlambat.

Perhentian ketiga- Perindu. Alhamdulillah. Masih berbaki 2 minit. Dia berharap untuk sampai secepat yang boleh. Langkahnya laju menaiki anak tangga menuju ke bangunan Cempaka 1. Selagi lagi dia memanjat tangga untuk ke tingkat 1 bangunan itu. Dan akhirnya 8.33 pagi, "Maafkan saya Puan. Bas lambat sangat tadi." Dan dia dibenarkan duduk. Alhamdulillah sekali lagi. Begitulah rutin seorang pelajar, tunggu bas, naik bas, jalan ke fakulti. Cepat atau lambat adalah pilihan tapi yang penting sampai. Pernah sekali dua dia menjadi yang terawal tapi kebiasaannya menjadi yang terlambat.

Jelasnya, semua perkara dalam hidup ini menuntut kesabaran. Sabar ketika menunggu sesuatu seperti si dia yang menunggu bas, atau anda yang sedang menunggu seseorang. Sabar dengan kepelbagaian manusia, seperti bersabar dengan orang yang berebut masuk ke dalam bas, atau anda yang sedang bersabar dengan kepelikan sahabat-sahabat anda. Sabar dalam melakukan sesuatu, ibarat si dia yang berulangkali memasukkan duit ke dalam mesin walaupun gagal tetap dicuba, atau seperti anda yang sedang bersabar dalam menjadi seorang pelajar kerana semestinya pelbagai perkara yang sukar akan anda hadapi.

Sabar dalam menginginkan sesuatu, seperti kerusi kosong di dalam bas atau anda yang mempunyai banyak keinginan sebagai seorang manusia. Nikah misalnya. Dan banyak lagi perkara yang menuntut kesabaran dalam kehidupan kita. Saya tidak tahu dengan anda, tetapi saya percaya kesabaran itu membayar kebahagiaan yang tidak pernah dapat kita capai melalui pemikiran akal kita. Kesabaran itu bisa memberikan kenikmatan yang tidak pernah kita sangka. Dan saya percaya kesabaran itu adalah segala-galanya.

Doakan saya dapat bersabar dengan buku-buku yang menuntut untuk dibaca. Sabar menanti final habis untuk cuti selama 4 bulan. Yang lebih penting, doakan saya sabar dalam setiap perkara yang mendatang yang bisa menggugat keimanan saya. Amin...

0 Yorum var: