Ada lapangan kasih yang terhampar di hadapanku. Saat itu aku buntu. Kecewa dengan banyak perkara yang singgah dalam kehidupan yang tidak terlalu panjang ini. Tapi tika mataku terpandang pada luasnya hamparan itu, aku nekad bahawa ini adalah masa yang Tuhan telah aturkan buat aku. Aku nekad untuk mencari ruang dan nafas untuk bergerak. Dan aku tahu nekad ini bukanlah sesuatu yang mudah.
Dalam ketahuan aku tentang payahnya perjalanan ini, aku tidak boleh berhenti. Aku mahu kakiku kuat melangkah dan berlari. Sedang aku yakin nekad ini memohon bayaran pengorbanan yang menggunung tinggi, aku tidak akan mengaku kalah lagi. Biar ini nekad yang terakhir.
Apapun tanggapan manusia tentang bahagia, aku pasti bahagia yang ingin aku tuju ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Sakit dan pedih itu mungkin kebiasaan yang bakal aku rasa. Sedu dalam tangis itu mungkin menjadi rutin dalam mengejar bahagia ini nanti. Apapun yang akan terjadi, aku sudah bilang aku nekad! Dan aku yakin dengan nekad ini, Allah akan segera membantu memberi ketetapan buat hatiku untuk terus berjuang dan untuk tidak berhenti.
0 Yorum var:
Sen de yaz