BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, June 30, 2011

Anak


Kurang lebih, sudah satu bulan setengah saya bekerja di sekolah ini, sebagai seorang kerani. Secara kasarnya, saya lebih berurusan dengan ibubapa berbanding dengan anak-anak mereka yang bersekolah di sini. Dalam kiraan hari yang tidak seberapa ini, saya cuba menjadi pemerhati yang setia terhadap banyak perkara. Dan dalam pemerhatian ini, banyak perkara yang membuat saya tersentuh. Tentang kesungguhan, tentang kecekalan, tentang kesabaran dan banyak lagi.

Pagi semalam, ada seorang ibu datang ke pejabat. Membawa seorang anak perempuan, jilbabnya labuh. Si ibu hanya berselendang. Rupa-rupanya, anak itu bukanlah anak kandung si ibu. Dia adalah anak angkat, yang tidak bersekolah disebabkan sijil kelahiran yang dibawa lari oleh ibu kandungnya ke Indonesia. Seperti biasa, banyak procedure yang perlu dilakukan. Si ibu angkat itulah yang turun naik ke pejabat kerajaan, memohon simpati buat si anak. Saya diam, hanya mendengar. Saya bukan seorang ibu, saya tidak tahu.

Sebelah petang, datang seorang ibu bersama tiga anaknya. Satu lelaki dan dua perempuan. Si ibu meminta jasa baik guru-guru untuk menasihati dua orang anaknya yang tidak mahu bersekolah. Ujar si ibu, beliau sudah tidak terdaya. Kata-katanya hanya menjadi bahan mainan buat anak-anak. Si ibu berlalu dan meninggalkan anak-anaknya kepada para guru. Saya memerhati dari meja, tempat saya duduk. Saya diam lagi, berperang dengan perasaan sendiri. Rasa marah dan sedih bercampur kepada anak-anak itu. Tetapi saya tidak tahu, saya bukan seorang ibu.

Kemudian, datang seorang lelaki. Dia ingin membuat pendaftaran darjah satu untuk anaknya. Seperti biasa, saya minta segala dokumen yang diperlukan. Sijil kelahiran saya belek, resit saya keluarkan. Dalam saya menyelesaikan segala tugas, si ayah bercerita. Katanya, dia tidak tahu membaca, solatnya tunggang langgang, dia tidak tahu banyak soal agama. Harapannya sungguh mulia, "Kalau boleh, saya taknak anak saya jadi seperti saya." Saya diam lagi, saya benar buntu. Dalam payah, saya hulurkan senyum. Si bapa pergi, saya hanya melihat dengan pandangan yang kosong. Tersentuh, tetapi saya masih tidak tahu. Saya bukan seorang bapa.

Pagi ini, dari ruang tingkap yang terbuka saya memandang jauh ke luar pejabat sekolah. Ada anak-anak yang sedang berlari, tawanya riang. Ada yang sedang menjamu selera, ada yang memegang buku untuk dibaca. Ada sekumpulan pelajar menuju ke arah saya, pintu diketuk, saya buka. Mereka mengadukan tentang seorang pelajar lelaki yang mencuri duit kawannya. Seorang pelajar lagi menambah bahawa pelajar yang mencuri itu adalah anak ustaz dan ustazah. Saya kaget, saya diam. Dalam getar suara, saya meminta pelajar itu dibawa berjumpa dengan Guru Besar. Selepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya cuma tidak tahu, saya bukan seorang ibu atau bapa, saya bukan seorang pendidik.

Saat saya menulis ini, banyak persoalan saya pada Tuhan yang sudah terbias. Saya sudah tidak mahu bertanya soal mujahadah. Saya hanya mahu bertanya tentang perasaan menjadi ibu. Saya mahu sekali tahu apakah rasanya menjadi seorang ibu, yang diberi amanah anak oleh Tuhan. Saya bertanya pada Tuhan, apakah rasanya menjadi seorang bapa yang berusaha memberikan yang terbaik buat anaknya. Kerana selama hidup saya, saya hanya menjadi seorang anak yang tidak tahu apakah perasaannya menjadi seorang ibu atau bapa. Dan saya mahu tahu.

You may not understand this entry, you don't have to understand. I just wanna have my own children. Tuhan, jika anak itu amanah biarkan aku galas amanah itu.

2 Yorum var:

syifa hanifuddin said...

kita sebagai manusia, memerhati, melihat dengan mata hati....dan ambil pengajaran...kite suka, cara rda melihat org...

Rabiatul Adawiyah Sulaiman said...

Alhamdulillah Syifa', ini semua kelebihan yang Allah berikan. (: