BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, June 30, 2011

Anak


Kurang lebih, sudah satu bulan setengah saya bekerja di sekolah ini, sebagai seorang kerani. Secara kasarnya, saya lebih berurusan dengan ibubapa berbanding dengan anak-anak mereka yang bersekolah di sini. Dalam kiraan hari yang tidak seberapa ini, saya cuba menjadi pemerhati yang setia terhadap banyak perkara. Dan dalam pemerhatian ini, banyak perkara yang membuat saya tersentuh. Tentang kesungguhan, tentang kecekalan, tentang kesabaran dan banyak lagi.

Pagi semalam, ada seorang ibu datang ke pejabat. Membawa seorang anak perempuan, jilbabnya labuh. Si ibu hanya berselendang. Rupa-rupanya, anak itu bukanlah anak kandung si ibu. Dia adalah anak angkat, yang tidak bersekolah disebabkan sijil kelahiran yang dibawa lari oleh ibu kandungnya ke Indonesia. Seperti biasa, banyak procedure yang perlu dilakukan. Si ibu angkat itulah yang turun naik ke pejabat kerajaan, memohon simpati buat si anak. Saya diam, hanya mendengar. Saya bukan seorang ibu, saya tidak tahu.

Sebelah petang, datang seorang ibu bersama tiga anaknya. Satu lelaki dan dua perempuan. Si ibu meminta jasa baik guru-guru untuk menasihati dua orang anaknya yang tidak mahu bersekolah. Ujar si ibu, beliau sudah tidak terdaya. Kata-katanya hanya menjadi bahan mainan buat anak-anak. Si ibu berlalu dan meninggalkan anak-anaknya kepada para guru. Saya memerhati dari meja, tempat saya duduk. Saya diam lagi, berperang dengan perasaan sendiri. Rasa marah dan sedih bercampur kepada anak-anak itu. Tetapi saya tidak tahu, saya bukan seorang ibu.

Kemudian, datang seorang lelaki. Dia ingin membuat pendaftaran darjah satu untuk anaknya. Seperti biasa, saya minta segala dokumen yang diperlukan. Sijil kelahiran saya belek, resit saya keluarkan. Dalam saya menyelesaikan segala tugas, si ayah bercerita. Katanya, dia tidak tahu membaca, solatnya tunggang langgang, dia tidak tahu banyak soal agama. Harapannya sungguh mulia, "Kalau boleh, saya taknak anak saya jadi seperti saya." Saya diam lagi, saya benar buntu. Dalam payah, saya hulurkan senyum. Si bapa pergi, saya hanya melihat dengan pandangan yang kosong. Tersentuh, tetapi saya masih tidak tahu. Saya bukan seorang bapa.

Pagi ini, dari ruang tingkap yang terbuka saya memandang jauh ke luar pejabat sekolah. Ada anak-anak yang sedang berlari, tawanya riang. Ada yang sedang menjamu selera, ada yang memegang buku untuk dibaca. Ada sekumpulan pelajar menuju ke arah saya, pintu diketuk, saya buka. Mereka mengadukan tentang seorang pelajar lelaki yang mencuri duit kawannya. Seorang pelajar lagi menambah bahawa pelajar yang mencuri itu adalah anak ustaz dan ustazah. Saya kaget, saya diam. Dalam getar suara, saya meminta pelajar itu dibawa berjumpa dengan Guru Besar. Selepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya cuma tidak tahu, saya bukan seorang ibu atau bapa, saya bukan seorang pendidik.

Saat saya menulis ini, banyak persoalan saya pada Tuhan yang sudah terbias. Saya sudah tidak mahu bertanya soal mujahadah. Saya hanya mahu bertanya tentang perasaan menjadi ibu. Saya mahu sekali tahu apakah rasanya menjadi seorang ibu, yang diberi amanah anak oleh Tuhan. Saya bertanya pada Tuhan, apakah rasanya menjadi seorang bapa yang berusaha memberikan yang terbaik buat anaknya. Kerana selama hidup saya, saya hanya menjadi seorang anak yang tidak tahu apakah perasaannya menjadi seorang ibu atau bapa. Dan saya mahu tahu.

You may not understand this entry, you don't have to understand. I just wanna have my own children. Tuhan, jika anak itu amanah biarkan aku galas amanah itu.

Wednesday, June 15, 2011

Peluang



Sahabatku, ketahuilah peluang itu adalah hadiah dari Allah. Bukan setiap masa ia akan hadir, bukan semua insan yang akan merasainya. Mungkin hanya sekali seumur hidup ia akan datang mengisi kekosongan hidup kita, atau mungkin ia tidak akan pernah datang langsung. Membiar kita diisi dengan peluang yang lain pula.


Sahabatku, andai engkau punya peluang itu, hargailah ia. Gunakanlah ia sebaiknya, kerana percayalah, jika engkau membuangnya, jika engkau menganggapnya sebagai picisan, engkau akan terbeban dengan kekesalan yang tidak dapat engkau tanggung dengan bahumu, yang tidak dapat engkau gengdong dengan tanganmu. Dan kekesalan itu akhirnya membawa engkau mengenang setiap peluang yang telah engkau lepaskan. Mengenang dengan rasa rindu yang memuncak!

Sahabatku, aku pernah hidup dalam lingkungan yang hebat, bersama sahabat yang sentiasa ingin jadikan setiap detikku bermanfaat. Aku jua pernah hidup dalam kelompok yang tidak pernah melakukan solat sendirian, lantaran 27 kiraan yang mereka kejarkan. Aku pernah hidup dalam suasana di mana Ma'thurat menjadi rutin tika fajar dan senja menyapa. Aku pernah hidup dalam tazkirah yang berpanjangan, dan dalam kalimah yang memberi ketenangan. Itu adalah hadiah dari Allah buatku, namun ketika itu, semua itu aku tidak pernah endahkan. Aku malah berjuang bermati-matian untuk tidak menjadi seperti mereka walau cuma sebahagian. Aku tidak mahu lakukan. Semua itu aku anggap picisan.

Sahabatku, sudah aku khabarkan, aku kini terbeban dengan pelbagai sesalan. Kerana kini, saat aku mahukan hadiah dari Tuhan, aku sudah tidak punya sahabat seperti mereka, aku kini solat sendirian, aku sedang mencari teman. Aku kini merangkak melakukan yang wajib, untuk istiqamah melakukan yang sunat. Aku kini memberi peringatan pada diri sendiri, yang selalu hanyut dalam kekesalan. Aku mencipta pelbagai kata bagi memujuk hatiku untuk terus berdoa, semoga Allah memberi aku peluang yang kedua.

Sahabatku, semua yang aku pernah anggap picisan dalam hidupku adalah semua yang sedang aku mahukan. Andai dahulu aku menggunakan peluang itu sebaiknya, penyesalan ini pasti jauh dari hidupku. Namun 'andai' itu tidak bisa mengubah apa pun. Sahabatku, jangan jadi sepertiku. Apabila Allah membuka pintu pahala untukmu, maka teruslah mendapatkan pahala itu. Esok mungkin tiada bagimu, dan juga aku.

Sunday, June 12, 2011

Tidak tahu.

Percaya atau tidak, akan ada satu garis masa dalam seluruh hidup kita di mana kita berasa seperti tidak tahu apa-apa. Sedangkan ketika itu kita bukan bayi kecil yang baru dilahirkan, atau lebih tepat yang baru mengenal dunia. Tapi lagak kita seperti manusia yang paling jahil yang tidak tahu siapa diri kita, yang tidak kenal siapa di sekeliling kita, yang tidak faham dengan apa yang kita rasa, yang tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku pada diri sendiri.


Saat itu jiwa terasa kosong, tetapi dada akan sakit bagaikan mahu pecah. Fikiran akan melayang, tetapi hati mahu sekali ia kembali mengingati Tuhan. Jantung sesekali degupnya laju, tangan jadi dingin melawan perasaan. Mata akan sentiasa terasa hangat, tetapi setitik air mata pun tidak gugur untuk melepaskan tangisan. Tika itu, dunia yang bingit terasa sepi seperti hidup di alam sendiri. Hidup jadi tidak keruan seolah sedang mencari sesuatu yang hilang.

Ini mungkin pergelutan antara diri dengan perasaan. Sedih, sebak, syukur, kesal, kosong, semuanya bagai mahu bersatu dalam sekeping hati yang buntu. Sehingga tidak tahu apa yang diri sendiri mahu. Tika itu juga, jika kita memaksa perasaan supaya kembali kepada ar-Rahman tanpa apa-apa paksaan Tuhan akan datang dekat dengan kita. Cuma apabila Dia datang dekat, kita sendiri yang akan merasa seperti Dia semakin menjauh dari kita.

Sehingga amal ibadah yang tidak pernah kita lakukan dahulu, kita rasakan seperti tidak mempunyai apa-apa makna. Seakan tidak cukup untuk menampung segala dosa dan noda yang telah kita lakukan dahulu, sewaktu kejahilan jelas ada dalam diri kita. Sehingga banyak perkara yang kita ingin lakukan, yang kita ingin kongsikan agar walau tidak memberi manfaat kepada sesiapa tetapi bisa memberi manfaat pada jiwa mati kita, kita tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Sehingga kita tidak dapat dan tidak tahu bagaimana untuk menceritakan segala rasa yang bermain dalam hati dan jiwa kita ini kepada sesiapa. Kerana yang pernah berada dalam kekesalan sahaja yang akan tahu bagaimana pedihnya sesal itu. Kerana hanya mereka yang pernah mengalami kekosongan akan memahami bagaimana sepinya kekosongan itu.

Dan jika ada manusia yang tidak sampai pada garis masa ini, mereka perlu bersyukur tidak terkata. Perasaan ini payah, berat dan tidak tertanggung oleh insan sekerdil kita. Saya betul tidak tahu tentang apa yang saya rasa. Jika kalian pernah mengalami apa yang sedang saya alami, bantulah saya untuk mengubati jiwa.

Saturday, June 11, 2011

Tambah koleksi.

Assalamulaikum semua. (:

Alhamdulillah, saya dah selesai baca semua buku yang dibeli di International KL Book Fair dua bulan yang lalu. Selang beberapa hari selepas pesta buku, saya sempat membeli novel Kala Cinta dan Wahyu Bersatu, ia adalah kesinambungan novel Warkah Cinta Berbau Syurga yang saya baca lebih kurang 2 tahun yang lalu. Dan syukur, semuanya sudah selesai dibaca.

Jadi memandangkan cuti semester ini masih panjang, saya mulai bosan kerana ketandusan bahan bacaan. Kebetulan, ada mini book fair di Mydin USJ, saya pun cuba tengok-tengok kalau ada buku yang best. Dan hasilnya, saya berjaya menambah koleksi dengan 3 buah buku lagi. Novel lah to be exacted.
The first one is Perang Khandaq karya penulis kesukaan, Abdul Latip Talib. Memandangkan saya dan baca novel Perang Badar dan Perang Uhud, saya berminat untuk meneliti sejarah Perang Khandaq pula. Seriously, penulisan Abdul Latip Talib dalam merungkai sejarah Melayu dan sejarah Islam benar-benar memikat saya. Selain rentetan perang ini, saya juga sudah membaca novel Khalid al-Walid dan Salahuddin al-Ayubi karya beliau.

Novel kedua adalah novel dwilogi Padang Bulan karya Andrea Hirata. Novel pertama adalah Padang Bulan, dan novel kedua Cinta di Dalam Gelas. Ini adalah karya Andrea Hirata yang kedua yang saya mahu cuba selepas novel Edensor yang dihadiahkan oleh seorang sahabat.

Dan yang terakhir adalah Sebongkah Batu di Kuala Berang tulisan Faisal Tehrani. Ini adalah buku yang tidak berjaya dibeli semasa KL Book Fair. (:

Alhamdulillah, saya sudah ada teman untuk tempoh sebulan dan sedang memikirkan judul-judul yang bakal dibeli untuk bekalan bulan seterusnya. Hehe. InshaAllah pengajaran yang diperoleh dari Tunggu Teduh Dulu akan dikongsi dalam entry akan datang. Baca Quran jangan lupa ya kawan-kawan. (: