BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, May 28, 2011

Rindu

Malam ini gugur lagi. Sejujurnya, saya sudah keputusan kata dan idea, apakah punca perasaan ini tiba-tiba menjadi sayu dan pilu. Sebak tidak terkata. Saya terlalu rindu. Tetapi saya tidak tahu rindu itu untuk siapa. Atau mungkin rindu itu bukan untuk manusia, tetapi untuk Dia.


Benar, saya tidak tahu bagaimana untuk saya tuturkan. Saban hari saya mencari apakah yang sedang saya lalui ini. Apakah asbab air mata ini mudah membasahi pipi. Saya tahu, cuma saya tidak tahu bagaimana untuk bercerita soal ini. Dunia mungkin tidak bisa memahami apa yang tersirat dalam sanubari, tetapi saya yakin Tuhan sedang mendengar rintihan dari insan hina ini.

Kata seorang sahabat andai hati kita dihurung pilu dan sayu yang tidak bersebab, ia bermakna Allah sedang menjentik hati kita. Mungkinkah Allah sedang menjentik rasa pilu dan sayu ini untuk saya rindu dan berasa ingin dekat padaNya? Saya tidak tahu. Mungkinkah Allah sedang menjentik rasa ini sebagai peringatan bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya? Saya tidak tahu.

Tetapi saya tahu satu perkara, Allah itu besar kasih sayangNya. Tidak terlihat dengan mata, tidak tercapai dengan tangan, tidak terlangkah dengan kaki. Semakin kita lihat, semakin buta mata. Semakin kita capai, semakin jauh tak tergapai. Semakin kita langkah, semakin kuat arus menongkah.

Tuhan, jika rinduku ini adalah rindu padaMu, Kau sematlah ia selalu. Biar air mata ini gugur keranaMu!

Saturday, May 21, 2011

Antara Insan dan Perasaan


Pertarungan dengan perasaan sendiri itu lebih sukar.
Jujurnya saya rasa terpukul. Dimanakah pengorbanan yang saya lakukan untuk agama? Sesungguhnya tiada apa yang telah saya serahkan buat Islam tercinta. Wahai sahabat, mari renung bersama.

Saya selalu tidak bersyukur.

Amaran, ini adalah entry seorang manusia yang tidak tahu apa itu syukur.


Jujurnya, saya selalu membenci diri sendiri. Saya selalu mahu menjadi orang lain. Saya ini orangnya suka bermain dengan emosi. Saya mudah rasa menyayangi dan disayangi. Saya mudah memarahi dan memaafi. Saya mudah membenci dan menyukai. Saya mudah rasa kehilangan, saya mudah rasa punya terlalu ramai teman. Saya mudah marah, saya mudah kasih.

Tapi kesemua itu tidak sama dengan apa yang ada pada fikiran saya. Itu semua adalah rasa kerana dalam kemudahan itu saya sentiasa memikirkan ia tidak patut berlaku. Saya sentiasa berfikir saya perlu berubah, perlu punya prinsip. Tapi selalunya, akal saya ditewaskan oleh hati. Hati selalu menjadi raja diri. Ringkasnya, saya memang suka bermain dengan emosi. Saya sentiasa menurut kata hati, sedang hati saya tidak bersih.

Saya mahu berubah! Menjadi lebih baik dari semalam, jauh dari jalan yang kelam. Sesiapa, tolong ajarkan saya bagaimana mahu memberi kemenangan kepada akal sementara menunggu saya menyucikan hati. Tolonglah, saya mahu bersyukur menjadi diri sendiri. Tolonglah!

Thursday, May 12, 2011

Terima kasih sahabat.

Malam ini malam Jumaat. Malam ini malam syahdu. Usai Maghrib, saya capai surah Yasin di rak buku. Alhamdulillah, bahan bacaan kian bertambah. Saya jadi suka. Saya lalu duduk di birai katil, dengan posisi yang paling selesa. Membuka Yasin lalu memulakan bacaan dengan Al-Fatihah, selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ayatul Kursi. Selesai semua, lalu Yasin segera saya baca. Yaa Sin, ayat pertama.


Entah kesedihan apa yang menyelubungi saya sewaktu kalam Allah itu saya tuturkan. Hati saya menjadi terlalu sebak. Saya cuba mencari fokus bagi mengkhatamkan bacaan. Selesai Yasin saya baca, saya fikir dalam-dalam. Saya pejamkan mata, membayang apa yang berlaku pada saya hari ini, semalam, kelmarin dan sebelumnya. Saya cuba mencari titik pemula tentang apa yang sedang mengganggu saya.

Di sisi saya ada sebuah novel yang sedang saya baca. Tunggu Teduh Dulu tulisan Faisal Tehrani. Saya selak halaman yang sudah saya baca, tepat saya terlihat mutiara kata. "Khullah atau persahabatan itu tingkatnya lebih tinggi daripada mahabbah atau kecintaan." Saya jadi yakin, kata ini yang terlalu memberi kesan pada saya. Sehingga terbawa-bawa dalam bacaan Yasin sebentar tadi. Saya renung kata-kata itu, saya cuba mentafsir. Benar, saya rindukan seorang sahabat. Lalu saya simpan tekad, biarlah apapun yang terjadi saya sudah bersedia untuk memaafkan. Saya pohon dalam doa terakhir sebelum saya katup kembali Tunggu Teduh Dulu, "Tuhanku semaikan keikhlasan dalam jiwaku!"

Tuhan itu Maha Kaya, saya dengan tiba-tiba punya kekuatan untuk memulakan bicara. Saya yakin kekuatan itu datang dariNya dengan penuh kasihan dan bermurah hati pada hambaNya. Bicara kami jadi syahdu, saya sebak tidak terkata. Biar malam ini menjadi saksi saya sedang menunduk pada limpahan kasih Tuhan yang tidak pernah terhitung banyaknya. Saya terkesan, dan cuba mencari apa lagi tafsiran kata-kata yang memberi saya keyakinan itu.

"Khullah atau persahabatan itu tingkatnya lebih tinggi daripada mahabbah atau kecintaan." Kecintaan itu sendiri punya pelbagai tafsiran. Kecintaan saya pada diri sendiri selama ini menebalkan ego, mengorbankan sebuah jalinan kemesraan yang Tuhan kurniakan buat saya. Kecintaan saya pada diri sendiri yang menyemarakkan ammarah dan mencipta pelbagai alasan untuk membenci walau kesilapannya cuma seinci. Maka kerana itu persahabatan itu lebih besar hebatnya berbanding kecintaan.

Dia sahabat yang istimewa. Dia sahabat yang mengajar saya bagaimana untuk mengenal dunia bersama tauhid di jiwa. Dia yang mengajak saya mengenal akhirat menuju kecintaan yang darjatnya tak tergambar dengan kata. Kecintaan yang tidak akan membinasakan persahabatan saya dan dia. Saya tekad, apa pun yang terjadi saya tidak akan mengorbankan jalinan ini lagi hanya kerana cinta akan keinginan diri sendiri. Kebaikan yang dia lakukan terlalu besar buat saya, menutup segala lompong, menampal segala cacat dan cela.

Terima kasih sahabat. :')

Sunday, May 08, 2011

Derik Kerisek- Faisal Tehrani

Selesai. Ini kisah tentang pejuang. Ini kisah tentang Mujahiddin. Ia tentang sengsara jiwa Muslim di Palestine, di Chicago. Ini kisah nurani yang terseksa di Pattani dan di Kashmir. Ini kisah mentafsir makna perjuangan. Ini adalah kisah mencari Ar-Rahman.


Nushi, Za'im dan Ali. Mereka adalah pemuda Palestin yang sekian lama terperangkap jiwa dalam getir suasana di bumi anbiya' itu. Mereka punya semangat juang yang berbeza. Mereka memilih untuk membawa duka yang lara ke Chicago, bermohon agar dunia memberi simpati dan empati, berharap agar manusia mengubah persepsi. Tapi mereka silap! Chicago itu bukan tempatnya, itu sarang Yahudi yang merampas tanah mereka! Itu tempat Arnon Soffer yang bijak menabur fitnah, berharap Muslim berpecah belah sehingga luka lama terus bernanah!

"Kita wajib berjihad apabila kita bersyahadat." Nushi
"Tidak selalunya pula -keras dan bertenaga- terkadang bicara dan diplomasi, tolak ansur maksudku, masih boleh dipertimbangkan." Ali
"Menuntut ilmu juga jihad, berusaha, dan bergelut dalam bidang ekonomi pun jihad." Za'im

Naufal dan Mus'ab. Mereka juga dari Palestin. Berhijrah ke Madinah dengan jiwa yang mati. Sengsara mereka berbeza tetapi luka mereka sama sahaja. Kedua-duanya seperti hilang arah, cuba memenuhkan hati di kota Nabi. Javid pula menanggung derita Kashmir. Memegang puisi-puisi Iqbal, si penyair terkemuka Pakistan untuk mendidik diri. Detik berdarah semuanya menjadi sejarah. Dia saksi segalanya. Dia punya semangat yang berbeza. Berbekal puisi-puisi itulah, dia menarik tangan Naufal dan Mus'ab dari menyalahkan cerita susunan Tuhan.

"Ada pemerintah umat Islam yang mampu.. maksudku tetapi mereka sebenarnya pengkhianat!" Javid
"Di sini kerikil dan debu yang diterbangkan adalah kesempurnaan iman ribuan tahun." Naufal
"Barangkali aku terlalu mencintainya, terlalu melebihkannya, kerana itu Allah tiba-tiba merentapnya daripadaku secara mengejut." Mus'ab

Wan Erfan dan Norijah selalu resah dengan keadaan. Mereka dikatakan tidak faham erti perjuangan. Mereka selalu gusar dengan kekerasan, mungkin kerana tidak dibesarkan di tanah mayat bergelimpangan. Tok Wan, lelaki tua yang rasa cintanya pada tanah airnya cukup besar. Madinah adalah tanah yang memberi tumpang, tetapi Pattani adalah tanah darahnya tumpah. Dia dilahirkan di situ, dan mahu matinya juga di situ.

Abdullah dan Misbah, bersatu kerana cintakan Allah. Hati mereka berpadu kerana Allah itu satu. Mereka tidak gentar! Membiar Tuhan menjadi saksi cinta suci mereka. Mereka percaya, cinta pada jalan Allah adalah seperti mencintai Allah. Yakin mereka terlalu kuat, rindu pada syahid terlalu hebat. Jihad mereka dengan cara mereka.

"Dan aku pun buntu, mereka menyogokkan aku yang perjuangan itu kononnya pembunuhan, atau yang kekerasan itu menjadi halal keamanan dan yang berjihad itu menjadi haram keganasan." Norijah
"Insya-Allah, saya akan asuh anak ini dengan semangat jihad." Wan Erfan
"Ini cerita kita bersama. Cerita umat Melayu. Cerita umat Islam. Kalaupun kalian bukan Melayu dan bukan Islam, ini cerita yang lebih besar. Cerita tentang kemanusiaan." Tok Wan
"Saya cuma insan biasa. Kebetulannya saya lebih lurus dari orang lain. Itu saja." Abdullah
"Cinta kami berbeza sekali dengan manusia yang lain. Cinta kami belum badani, cinta kami tak juga emosi, cinta kami sebenarnya, cinta yang lebih indrawi. Semuanya oleh rasa." Misbah

Ini kisah pencinta agama.

Saturday, May 07, 2011

Malu

Benarlah. Aku bukan wanita yang baik. Dan terlalu jauh untuk menjadi solehah. Banyak perkara dalam hidup ini yang masih sama, yang masih belum diperbetulkan. Dari soal kematangan sehinggalah soal iman. Semuanya masih sama.


Adakah selama ini aku tidak bergerak? Entah. Kadang-kadang kita rasakan seperti kita sudah bergerak, dari satu titik ke satu titik. Padahal kita masih di titik yang sama, tidak berubah. Kadang-kadang kita rasakan kita sudah berubah, padahal kita hanyalah kita yang dahulu. Dan kadang-kadang kita berfikir bahawa kita sudah redha dengan kehidupan, padahal hati kita masih kerap menyoal Tuhan.

Hakikatnya, aku rasa malu. Malu pada Dia yang mencipta, malu pada kalian yang melihat dan mendengar. Aku malu kerana saban hari aku kian jauh. Aku hilang dalam riuh kota palsu. Aku hilang dalam debu halus yang membutakan mataku. Aku hilang dalam diriku yang dulu.

Aku punya banyak harapan. Aku ada pelbagai impian. Harapan dan impian aku semuanya baik-baik belaka. Aku ingin menujuMu Ya Allah. Cuma selalunya jalanku putus, aku selalu hilang arah. Aku selalu leka Ya Allah. Tapi aku tahu Ya Tuhanku, aku tahu Engkau tidak pernah jemu membantu aku. Bantulah aku lagi Ya Allah, bantulah. Kerana aku malu.