BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 30, 2011

Bumi, hati dan manusia.

Aku berdiri di tengah-tengah jalan yang tidak kulihat penghujungnya. Saat kaki aku memijak tanah itu, mataku terus melihat kehijauan rumput dan birunya langit, tangan kuletakkan di atas dada. Ada degup jantung yang aku dengar. Dan aku tahu, dalam dada ini ada seketul daging yang bernama hati.

Bumi

"Apakah kamu yang lebih sulit penciptaannya ataukah langit? Allah telah membinanya Dia meninggikan bangunannya lalu menyempurnakannya. Dan Dia menjadikan malam yang gelap pelita dan menjadikan siangnya terang benderang, dan bumi sesudah itu dihamparkannya. Ia memancarkan daripadanya mata airnya dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya, dan gunung-gunung dipancangkannya dengan teguh. Semua itu untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu." (Surah an-Naziat: 33)


Aku lihat diri, aku lihat bumi. Bumi adalah ciptaan Allah yang maha hebat. Di atasnya terpancar mata air yang bisa menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Jua terbina di atasnya gunung-ganang yang memberi lindung sejak Adam dan Hawa dipertemukan. Dan tersusun di setiap ruang, pokok-pokok yang memberi nafas buat insan. Bumi adalah ciptaan yang hebat, ia memberi kesenangan dan kemudahan buat keseluruhan ummat.

Tapi bagaimana bumi ini dijaga? Tangan-tangan manusia yang membakar api, memberi lompong pada ozon yang melindung. Bumi menjadi panas, sehingga isinya merasa terjejas. Kaki-kaki manusia yang mengejar pembangunan, tanah dipijak menjadi korban. Lautan yang indah menjadi gundah. Tangan dan kaki manusia yang memusnah.

Hati

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Aku pandang bumi, aku rasa hati. Hati ada kurnia Tuhan yang paling agung. Diletakkan iman dan nafsu bagi melengkapkan kejadian makhluk terulung. Hati itu yang memekarkan cinta pada Pencipta dan kasih sesama manusia. Ia yang menyuburkan sifat untuk terus bergelar hamba. Melahirkan gembira, sedih dan teruja bagi mewarnakan sebuah kehidupan. Ciptaannya jelas, untuk menerbitkan rasa bagi tiap-tiap perkara. Ia memanusiakan manusia.

Namun bagaimana kita menjaganya? Kaki yang menuju kejahatan meninggalkan kesan hitam di dalam hati, mewujudkan titik-titik noda yang akhirnya menggelapkan semua. Api ammarah yang membakar kesuburan hati dan jiwa, dengan dosa tangan yang tidak menghalang dosa yang dilihat dari tercipta. Kekosongan yang tidak pernah diisi dengan zikir padaNya. Semuanya menggelapkan dan mengotorkan hati. Tangan dan kaki manusia yang memusnahkan segalanya.

Manusia

Aku adalah manusia. Aku hidup di atas bumi Allah, dan aku punya seketul hati pemberian Allah. Kedua-duanya adalah dari Allah. Lalu aku lihat kedua-dua tanganku, aku pandang kedua-dua kakiku. Aku cuba menggerak-gerakkan ia dan aku terbayang selautan manusia berbuat perkara yang sama. Kita adalah manusia. Dari sebesar-besar bumi sehingga sekecil-kecil hati dalam diri, kitalah yang bertangungjawab dalam mencorakkan ia. Andai buruk jalan yang kita pilih, keindahan dan kesenangan yang bumi pernah berikan, sudah tidak tinggal sisa. Andai kotor jalan yang kita mahu, tidak ada lagi rasa kasih dan cinta pada Pencipta.

Bumi, hati dan manusia. Andai pencemaran bumi ini merentas dunia, maka kekotoran hati ini meliputi diri setiap manusia. Bukankah manusia itu sebaik-baik ciptaan, maka mengapa perlu merosak dan memusnah kebaikan ciptaanNya yang lain? Kita punya jawapan.

Sunday, March 27, 2011

Kun fayakun.

2 rakaat. Setelah tangan ditadah, dia mengusap wajah. Membuang segala noda dan cela. "Alhamdulillah, selesai subuh aku tunaikan." Bisik hatinya. Sejadah itu segera dilipat. Dia yang masih bertelekung itu terus menuju ke jendela kamar. Tirai itu diselak, suasana di luar kelihatan tenang dan damai. Burung-burung bercicip mesra, meninggalkan sangkar mencari bahagia. Titis embun yang menumpang daun pada malam hari, jatuh satu persatu menyembah bumi. Langit yang cerah itu seperti membawa khabar gembira buat pagi. Lihat, bagaimana Allah menciptakan alam untuk manusia teladani dengan nikmat akal yang Allah beri. Dia pergi ke sebuah almari lama. Tafsir Quran dicapai, lalu Surah as-Syura ayat 12 segera dibuka.


"Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."


Berulangkali ayat itu diulang dan dibaca. Ada kerut didahi, dia sedang memikirkan nasib diri. Terngiang ditelinganya suara Dr. MAZA dalam ceramah beliau yang baru sahaja didengarnya malam tadi melalui video. Tawakkal adalah perkara terpenting dalam soal aqidah, bagaimana insan bergantung hanya pada Allah Taala. Dimana manusia menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah uruskan.

Saat itu, satu persatu perancangan hidup yang telah lama dirangka datang menjelma. Jua matlamat yang bertahun lama dia angankan. Segalanya untuk kebahagiaan dunia. Segalanya tampak jelas hari ke hari, setelah dia meningkat dewasa. Cita-cita seakan mudah digapai, hanya dengan menurut aturan dunia. Bahagia yang dikejar seolah di hadapan mata, setelah pelbagai rencana dia lakarkan. Segalanya nampak teratur dan mudah. Tapi mengapa hatinya tidak tenang selama ini? Mengapa jiwanya terasa kosong dan sepi? Mengapa dia sentiasa merasa tidak cukup, walau setelah Tuhan memberikan rezeki? Dia diam, membiar nikmat akal dan hati untuk menjawap soalan demi soalan yang datang bertalu padanya.

Setelah itu, dia jadi kecewa. Jiwanya sebak, ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya. Apakah sebenarnya bahagia yang dia cari? Apakah sebenarnya yang dia kehendaki? Manusia mungkin punya definisi bahagia yang berbeza. Semuanya bergantung pada keinginan hati dan kadangkala berserta nafsu perosak diri. Namun dalam segala bentuk definisi dan erti, apakah sebenarnya bahagia yang hakiki?

"Dimana penyerahan jiwamu pada Tuhan yang mencipta kamu dan rezeki yang diberikan kepadamu selama ini? Dimana tawakkal yang sepatutnya hadir dalam dirimu buat Tuhan yang merencana dan mentadbirurus dirimu selama hidupmu ini?"

Dia angguk setuju. Dia tiada tawakkal pada Tuhannya selama ini. Kerana dia merasa usaha manusia yang dia punya mampu merealisasikan bahagia yang dia damba. Kerana dia yakin dengan rencana yang dia rangka bisa merealitikan segala yang dia angan-angankan. Dia tiada penyerahan jiwa pada yang lebih mengetahui tiap-tiap sesuatu. Dia angguk setuju lagi. Tafsir ditangan diselak lagi. At-Talaq, ayat 3.

"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya dan (ingatlah); siapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

Cicip burung masih kedengaran. Pagi Ahad sebegini mungkin pagi bersenang lenang bagi manusia seperti kita. Tapi tidak buat sang burung yang masih kekal melakukan rutin pagi, mencari rezeki dengan penuh tawakkal dalam diri. Burung tidak punya akal seperti kita, tapi masih berzikir pada yang Maha Esa. Menyerahkan segalanya pada pentadbir alam untuk mengurus dirinya yang kerdil itu. Itulah penyerahan jiwa yang sebenarnya. Itulah tawakkal buat Sang Pencipta.

Telekung dibuka, tafsir disimpan. Hikmah dan teladan disemat. Tawakkal disemai. Bahagia dibentuk bersama penyerahan kepadaNya. Dia serahkan segalanya kepada Allah, Tuhan yang membahagi-bahagikan rezeki. Kerana bahagia yang dia cari, Allah yang beri. Bila Allah kata jadi, maka jadilah!

Monday, March 21, 2011

Kali ini nekad!

Ada lapangan kasih yang terhampar di hadapanku. Saat itu aku buntu. Kecewa dengan banyak perkara yang singgah dalam kehidupan yang tidak terlalu panjang ini. Tapi tika mataku terpandang pada luasnya hamparan itu, aku nekad bahawa ini adalah masa yang Tuhan telah aturkan buat aku. Aku nekad untuk mencari ruang dan nafas untuk bergerak. Dan aku tahu nekad ini bukanlah sesuatu yang mudah.


Dalam ketahuan aku tentang payahnya perjalanan ini, aku tidak boleh berhenti. Aku mahu kakiku kuat melangkah dan berlari. Sedang aku yakin nekad ini memohon bayaran pengorbanan yang menggunung tinggi, aku tidak akan mengaku kalah lagi. Biar ini nekad yang terakhir.

Apapun tanggapan manusia tentang bahagia, aku pasti bahagia yang ingin aku tuju ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Sakit dan pedih itu mungkin kebiasaan yang bakal aku rasa. Sedu dalam tangis itu mungkin menjadi rutin dalam mengejar bahagia ini nanti. Apapun yang akan terjadi, aku sudah bilang aku nekad! Dan aku yakin dengan nekad ini, Allah akan segera membantu memberi ketetapan buat hatiku untuk terus berjuang dan untuk tidak berhenti.

Sunday, March 13, 2011

Pray for Japan.

Langit menjadi semakin keruh. Ketulan-ketulan asap kelihatan cepat merebak ke seluruh ruang udara. Runtuhan rumah dan bangunan kian membukit tingginya. Puluhan ribu besi bergerak ciptaan manusia bergelimpangan penuh debu permukaannya. Api merah yang membakar nyawa, gelung ombak menelan pepohonan rimbun. Angin kencang meniup cengkaman rumput. Akhirnya, apa lagi yang bersisa? Tangisan dan jeritan penuh bermohon pada Sang Pencipta.


Hakikatnya, kita bukan sesiapa untuk menghukum mereka. Allah, Tuhan manusia! Maka dia yang berkuasa. Biarlah apa pun yang menjadi punca bencana ini, biar kita yang melihat mengambil iktibar bukannya mengeji. Bukankah kadangkala dengan melihat derita dan sengsara orang lain bisa membuat kita terfikir bahawa dunia ini bukan milik kita dan hidup ini hanya sementara? Aku pernah bilang, ini bukan bukti ketidakadilan Tuhan. Ini adalah rencana kehidupan yang memberi adil pada setiap manusia yang berfikir.

Ya Allah yang Maha Pengampun, andai letupan ini adalah letupan ammarahMu pada kami yang leka dalam keasyikkan duniaMu, maka kau ampunkanlah kami dan jauhkanlah kami dari keasyikkan itu. Ya Rabbi, jika limpahan ombak ini adalah untuk membasuh dosa kami, lalu kau hilangkanlah segala daki yang melekat pada hati-hati kami dan kau hindarkanlah kami dari berbuat dosa lagi. Ya Tuhan, kalau gegaran ini adalah untuk menjentik getar kekuatan dalam jiwa kami untuk kau uji, maka kau tiupkanlah kekuatan yang berpanjangan untuk kami tempuh hidup ini.

Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah saudara-saudara kami dari segala bencanaMu di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabb!

Tuesday, March 01, 2011

Kecil-Besar

Cita-cita besar adalah untuk orang yang besar pengharapannya. Cita-cita besar bergabung dengan keyakinan yang besar pada Yang Menciptanya. Cita-cita besar termuncul di hujung kisah berapa besar taburan usahanya. Cita-cita besar selalu besar kesannya.


Tatkala manusia besar bisa mendapatkan yang besar-besar, tidak ada penafian dari Tuhan untuk manusia sekecil kita merasa nikmat yang besar-besar juga. Namun selalunya dalam ruang kecil dan terasing, manusia sekecil kita ini lebih cenderung untuk memilih yang kecil-kecil. Kononnya selesa dengan apa yang didapati tetapi kerapnya kerana takut tak terdaya memikul yang besar- yang selalunya berat, takut tak larat!

Hakikatnya, ini semua pilihan dan kemahuan. Sentiasa bercita-cita besar tanpa usaha yang besar itu menakutkan bagi semua manusia- kudrat tidak diguna, kemahuan sentiasa ada. Tapi tewas dengan takut untuk bercita-cita besar adalah lebih mengerikan untuk manusia sekecil kita. Lihat, bukan Tuhan yang menafikan tapi kita- manusia sekecil kita.