Satu jam sahaja lagi. Hari terakhir ini bakal berakhir dan untuk menggambarkan segala-galanya tentang tahun ini adalah; jiwa. Aku tidak sampai hati menghukum ini adalah tahun kedukaan, kerana dukaku tidak sedalam duka Rasulullah sewaktu kehilangan isteri tercinta dan ayah saudara baginda.
Jadi aku tidak akan menamakan tahun ini dengan apa-apa nama. Dari pandangan sisiku yang gelap, ia cuma satu lagi tahun yang aku habiskan dengan mengumpul dosa tanpa dihapus. Ia cuma tahun yang aku lenyapkan dengan membiarkan segala harapanku terkubur, dan ada yang hancur. Ia cuma satu tahun yang aku isikan dengan kesakitan yang aku sendiri tentukan.
Ini adalah tahun yang penuh dengan paparan rintihan aku buat tatapan manusia. Ini adalah tahun aku memperkenalkan diriku sebagai manusia yang jarang sekali hampir dengan rasa syukur dan redha. Lihat, bagaimana aku menggambarkan kedukaan pada tahun ini yang kononnya tidak mahu aku namakan.
Ini dari pandangan sisiku yang terang, yang selama ini wujud tapi aku jarang sekali kongsi. Tahun ini adalah tahun persaudaraan. Tahun di mana aku ikat tali ukhuwah dengan ramai manusia, yang sentiasa menceriakan hari-hari suramku. Ini adalah tahun kesyukuran, kerana walaupun banyak perkara yang tidak dapat aku capai, peluang dan ruang masih terbuka luas buatku.
Ini adalah tahun yang penuh dengan kata-kata semangat, yang aku reka jadi bujukan buat hatiku. Dan dengan kata-kata itu jualah manusia lain yang berduka bisa menumpang hikmah. Tahun ini merupakan tahun aku mulai mengenal diri, dan mencari sisi terang yang perlu aku syukuri. Dan yang paling besar sekali, inilah tahun aku belajar untuk menjadi hamba yang kuat dan tabah dan aku tidak akan berhenti.
Harapan aku? Cuma satu, aku mohon aku dibantu dalam perjalanan kehidupan ini yang penuh dengan liku. Jadikan aku kuat, Ya Allah! Aku mahu gambaran jiwa yang kuat.
4 Yorum var:
insyaAllah...
Amin. (:
eh kita berkongsi doa yang sama. amiin.
btw, happy new year !
Adzrul, inshaAllah.
HNY. (:
Sen de yaz