BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, November 30, 2010

Inilah masanya.

Pekat malam selalu menjadi saksi air mata kerinduan setiap insan yang menumpang di atas muka bumi Tuhan ini. Kata seseorang, dalam rasa rindu yang bergema disetiap inci jiwa ini, dunia tidak pernah berhenti berputar di atas paksi. Siang dan malam tetap silih berganti. Jadi mengapa hanya dibiar perasaan menangis sendiri?


Bangun! Hari sudah mahu pagi. Telah kau biarkan sepertiga malam berlalu tanpa diisi. Mana tangisan rindu buat Pencipta rasa rindumu? Mana gema kasih dalam jiwamu buat Pencipta cintamu? Sampai bila engkau mahu persoal hati sebegini? Sedangkan engkaulah penjenayah yang paling dikehendaki!

Sudahlah. Jangan tewas dengan diri sendiri. Masanya sudah tiba untuk engkau pergi. Pergi dari rasa yang mengikat engkau selama ini. Kerana masa tidak pernah berhenti, setiap saat dan detik dinilai.

Tuesday, November 23, 2010

Mencari jalan keluar

Aku sedang punyai dua rasa yang berbeza. Aksara yang dulunya pantas aku lakar, kini menjadi sepayah menerima takdir bagi manusia yang sedang berputus asa. Tanganku tidak menggigil, tapi jantungku berdegup pantas seolah aku sedang berlari dari sesuatu yang amat aku takuti. Kusut. Itulah sebaik perkataan yang dapat aku gambarkan. Aku sebolehnya tidak ingin mengambil tahu apa yang menjadi akar kekusutan ini tapi aku ingin sekali bergerak pergi dari rasa yang menyesakkan benakku.


Aku cuba menyusun huruf yang berterabur dalam gambaran mindaku. Lambat ia bergerak, aku sudah seperti si kecil yang baru mengenal abjad. Segalanya susah dan payah. Aku seakan terperangkap dalam diri sendiri mencari jalan keluar yang paling selamat untuk aku pergi. Sayangnya langkahku longlai seperti mahu sahaja aku merangkak bagaikan bayi. Namun bayi kecil tidak punyai dosa menggunung tinggi!

Keliru. Aku makin keliru dengan diriku. Semakin aku meleraikan kekusutan yang berlaku, semakin kurasakan gelap tidak berlampu. Ini adalah hipotesis kehidupan bagi manusia sehina aku.

Ya Allah, adakah ini balasan bagi mereka yang kufur? Adakah ini hukuman bagi manusia yang tidak tahu untuk bersyukur? Jika benar Ya Allah, ampunkanlah dosa hambaMu yang hina ini. Berilah petunjuk bagi setiap kesesatan yang aku lakukan. Peliharalah aku dari kejahatan, sesungguhnya aku hamba yang lemah, yang memerlukan pertolongan. Amin Ya Rabbil Alamin.

"Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan terhadap orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga)." (An-Najm: 31)

Friday, November 19, 2010


Pengorbanan mungkin mempunyai erti yang berbeza bagi setiap orang daripada kita. Apa pun yang kita korbankan, biarlah ia kerana Allah Taala. Selamat Hari Raya Aidiladha.

Monday, November 15, 2010

Sekuntum Mawar dan Sekeping Hati.

Petang ini hujan lagi. Sedang aku mengamati bau hujan yang sungguh menenangkan, mataku tertancap pada sekuntum bunga mawar merah di dalam botol plastik berisi air. Mawar itu kian layu mencecah lantai meja di sudut kecil bilikku. Air nya tidak pernah berkurang, tapi semakin keruh. Coklat. Ah, ini semua salahku. Aku yang terlupa untuk memberikan sedikit matahari pada mawar itu. Bukan dari sesiapa, tapi ia dari seseorang yang aku cinta. Emak.


Cik burung hantu (=.=)

Jangan risau. Berapa kali sudah saya ingatkan. Ini bukan perlawanan! Ini adalah kehidupan yang di dalamnya tercipta sebuah persahabatan. Kita tidak pernah berlawan kata-kata siapa yang paling sedap dibaca. Kita juga tidak pernah bertanding siapa punya derita paling sengsara. Dan saya sememangnya tidak pernah ingin berlawan apa-apa. Kerana kita sedang menanggung derita yang sama! Dan kerana itulah tiap kali awak bingung, saya akan cuba leraikan. Bila saya gentar, awak meniup semangat buat saya. Biarlah berulang kali, atau beribu kali sekalipun awak mengucap kata yang sama. Saya tidak akan pernah bosan apatah lagi untuk benci, dan saya yakin awak jua begitu.

Kerana kita tahu, hati dan jiwa kita ibarat bunga mawar. Ia bukan dari sesiapa, tapi dari Allah yang paling kita cintai. Yang perlu kita jaga dengan sebaik-baik penjagaan. Yang perlu kita baja dengan seelok-elok makanan. Supaya ia tidak layu mencecah dasar yang paling hina, yang paling kita takut untuk dekati. Benar, kita sememangnya tahu. Tapi kita selalu lupa. Lupa untuk menyiram hati kita, lupa untuk mehangatkan jiwa kita dengan ingatan-ingatan yang telah Tuhan sediakan dengan percuma buat kita. Dan dengan sebab inilah, saya rela aksara itu diulang-ulang. Biar bernanah telinga kita. Biar berdarah air mata kita. Selagi kita hidup, saya mahu kita saling mengingatkan! Sekurang-kurangnya walaupun kita tidak berjalan, kita tetap bergerak mengangkat tangan untuk berdoa. Dan walaupun kita tidak bergerak, sekurang-kurangnya Allah akan mengangkat kita lebih tinggi dari tempat kita terjelepuk ini. Sampai bila pun kita tidak akan tahu bila penderitaan ini akan berakhir. Tapi yakinlah, kita sentiasa tahu bagaimana untuk pergi jauh darinya. Kita cuma perlu saling mengingatkan.

Aku capai bunga mawar itu. Aku cium buat kali terakhir sebelum aku campakkannya ke dalam bakul sampah di tepi bilik mandiku. Bukan untuk membuang kasih dan cintaku pada emak. Aku cuma sudah tidak sanggup untuk melihat suatu hari nanti kelopaknya pula akan satu persatu jatuh menyembah bumi hanya kerana sebuah kelalaian. Tuhan jangan sampai aku jijik dengan jiwa sendiri!

Dari Anas berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau yang dizalimi." Mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, kami menolong orang yang dizalimi maka bagaimana kami menolong orang yang menzalimi?" Rasulullah bersabda: "Kamu menahan perbuatannya." (Hadith Bukhari)

Cik burung hantu/ Nurus Sakinatul Fikriah, kita hanya perlu yakin dengan kekuatan yang kita ada. Cukuplah menzalimi diri. Maaflah tak daring pun entry ni. ;p

Wednesday, November 10, 2010

Kebaikan dengan kebaikan.

Benarkah wanita itu lemah? Atau aku yang lemah? Entahlah, semakin aku fikirkan semakin ia bersimpul berselirat di dalam benakku. Selama bertahun aku mencipta hukum alam mengikut acuanku sendiri. Biasalah nafsu selalu menguasai manusia selemah aku. Lihat, aku sudah mengakui.


Ini semua salah aku, aku yang lemah. Aku yang membenarkan kekuatan itu menguasai diriku. Ketika itu, dialah yang kurasakan penguat jiwa dan ragaku. Dialah kekuatan yang kononnya boleh meresap dalam jiwa lemahku. Kekuatan yang kononnya boleh memimpin aku. Lebih hina lagi, aku yang menggunakan agama sebagai penutup dosaku.

Cerita aku dan dia berjalan lembut, mudah sahaja proses perkenalan kami. Berbekal hanya sedikit memori yang pernah kami cipta bersama, mudah sahaja kami bergaul mesra. Tambahan pula, hati lemahku sedang kosong menanti diisi. Datang dia seperti seorang superhero, aku pula ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Masing-masing saling melengkapi, kononnya.

Entahlah, bagiku dirinya berbeza. Mungkin kerana ketika saat aku mencari, dia mula memperkenalkan diri. Pohonnya cinta, bajanya ilmu. Kembang mekar cinta dalam hatiku, hanya kerana dia melemparkan ilmu yang tidak pernah aku tahu. Biarlah hukum Allah digelapkan, yang pasti aku lihat dia yang membawa sinaran. Bersama dengannya, buat aku rasa bertuhan! Hati yang dulunya jauh dari agama, kurasakan dekat di dalam jiwa.

Lama-kelamaan ku rasakan jiwaku seperti diikat dengan jiwanya, seperti berpadu! Mulai dari saat itu, kami mencipta persamaan yang kononnya berteraskan agama yang langsung meletakkan kami jauh dari si Pencipta agama. Kejauhan jarak bukan lagi penghalang, sehingga Allah menunjukkan kuasaNya.

Aku yang ketika itu masih mencari jalan hakiki, tersentak lalu tersedar. Di dalam aku mendapatkan rasa bertuhan, dia merasai sebaliknya. Disaat aku menjiwai ketenangan, dia merasai kekeliruan dengan perasaannya. Kami kian jauh. Aku terbawa ke satu tempat yang meletakkan aku di tahap paling hina dalam hidupku. Akulah punca dosa tercipta, akulah punca hati terleka, akulah punca hidup derita! Derita dengan dosa yang aku halalkan dengan niat dhoif ku.

Lalu aku ditinggalkan terkapai-kapai sedang dia sudah bahagia. Lalu aku dibiarkan hina di setiap pandangan manusia, sedang dia hampir ke sana. Ke jalan yang pernah kami sama-sama mahukan. Aku cuba mencari jalan untuk bangun, dengan sisa tarbiyah yang dia pernah tinggalkan buat aku. Sehingga terkadang aku merasakan kehinaan yang maha dahsyat dalam diriku.

Aku mula merasai agama bukan untuk dimainkan dengan kata-kata. Ilmu bukan untuk digunakan sewenang-wenangnya. Dan semenjak dari saat itu aku mulai percaya, matlamat tidak akan pernah menghalalkan cara. Perjalanan benar-benar mendewasakanku.

Sudahlah, aku tidak mahu hanya aku yang merasakan kebaikan sedangkan engkau merasakan kekufuran ketika kita bersama. Aku hanya mahukan kebaikan yang tidak akan pernah menafikan kebaikan yang lain. Aku mahu parallel, tidak perlu intersect sehingga meninggalkan kesan pangkah di dasar hatiku.

Ya Allah, tetapkan hatiku. Beri kekuatan padaku!

Monday, November 08, 2010

Bangkit!

Setiap manusia pernah berada pada tempat yang paling hina dalam hidupnya. Tapi adalah lebih hina apabila tiada siapapun yang menyedari kewujudan kita malah ada yang sanggup membiarkan kita terkapai bersama kehinaan yang kian parah.


Namun di sudut kecil jiwa ini, masih mahu bangkit walau hanya punya Allah sebagai teman!

Thursday, November 04, 2010

Sahabat!

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Sahabat,
Jangan hairan andai kau berduka
Kerana manusia memang pelupa
Kita mudah putus asa bila diduga.

"Manusia tidak jemu memohon kebaikan dan jika mereka ditimpa malapetaka dia menjadi putus asa lagi putus harapan." (al-Fusilat: 49)

Sahabat,
Andai kau jatuh rebah
Jangan bimbang, jangan resah
Kepada Allah lah tempat berserah
Kerana takdir juga berhikmah.

"Supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri." (al-Hadid: 23)

Sahabat,
Jika esok engkau berdiri
Jangan mudah meninggi diri
Kerana mungkin kau sedang diuji
Semua itu Allah yang beri.

"Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami dia berkata, "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaran. Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui." (az-Zumar: 49)

Sahabat,
Bagaimanapun dikau, tidak perlu kecewa
Ingatlah Dia, nescaya tenanglah jiwa
Bersyukurlah, Allah akan suka
Sesungguhnya Dia sentiasa ada.

"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." (at-Taubah: 40)

Sahabat,
Percayalah pada Qada' dan Qadar
Jadilah dikau manusia yang sabar
Kerana hidup tidak selalunya sukar.

"Kerana sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan." (Alam Nashrah: 5-6)

Sahabat, manusia ini selalunya bukan tidak tahu. Kita ini selalunya bukan tidak percaya. Tapi kita ini selalunya terlupa, yang akhirnya menyebabkan kita leka. Maka ayuh saling ingat-mengingati!

p/s: Alhamdulillah! Debar menanti result berakhir. Usaha menampakkan hasilnya.