BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 13, 2011

Doa adalah bukti kecintaan.

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan, Si Pemilik nyawa dan seluruh kehidupan saya dan anda semua. Ulang tahun yang ke-20 ini sekali lagi, jatuhnya dalam bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan.


Sebenarnya, tidak ada beza hari ini, semalam mahupun esok. Setiap hari yang mendatang dan telah pergi, adalah anugerah Allah yang perlu kita syukuri. Logiknya, hari selepas ulang tahun ini malah patut lebih disyukuri, kerana Tuhan menganugerahkan satu lagi hari untuk kita terus bernafas selepas kiraan tahun perjalanan kita di bumi Tuhan ini. Ulang tahun hanyalah kiraan waktu yang paling kita ingat, dan yang paling kita rasa nikmat sebuah kehidupan.

Pun begitu, disebalik syukur yang kita panjatkan buat Tuhan yang Maha Pemurah, yang memberi denyut nadi untuk kita jalani kehidupan, ada satu perkara yang paling patut kita syukuri. Ia adalah doa-doa yang dikirim dan dititip dari setiap manusia yang mengingati kita. Biarpun kiriman itu adalah kiriman yang biasa, dari teman biasa, namun setiap doa itu dihitung dan dikira. Doa itu adalah tanda kita saling mencintai. Sesungguhnya doa kalian yang paling saya syukuri.

Terima kasih Tuhan, kerana menghantar manusia seperti mereka dalam hidupku. Terima kasih Tuhan, kerana nikmat nyawa yang Engkau pelihara selama 20 tahun kehidupanku. Aku pohon, cambahkanlah kecintaan pada hati mereka yang membenci, kekalkanlah kecintaan dalam jiwa mereka yang mencintai, semaikanlah kecintaan padaMu dalam jiwa dan hati kami. Amin.

Merujuk gambar di atas : 20 years ago, bersama kembar lain ibu lain bapa. Cousin yang lahir pada hari yang sama. Happy Birthday to you. (:

Wednesday, August 10, 2011

Kembalilah kepada Tuhanmu.

Kesepian atau kesunyian sebenarnya adalah rasa yang tersepit di antara dua titik ekstrem dalam hidup. Kosong dan penuh.


Pada titik kosong, kesunyian yang berlegar adalah seperti kita tidak punya sesiapa. Ini adalah waktu kita terasa sendiri walau dikelilingi ramai manusia. Gambarannya kosong, tiada muzik, tiada suara, tiada bahasa. Kesunyian pada titik ini seperti satu pencarian yang tidak punya arah dan tujuan. Yang kita rasa adalah kehilangan akan sesuatu yang kita tidak tahu apa. Dan kehilangan itu yang mencipta kesunyian.

Pada satu lagi titik, yakni titik yang penuh, kesunyian adalah ketika terlalu ramai manusia yang hadir. Tetapi jiwa kita terasa penuh dengan kesedihan. Semakin ramai manusia, semakin kesedihan itu memenuhi hati kita. Dada jadi sesak, hendak bercerita tidak tahu di mana perlu mula. Kalaupun sudah mula bercerita, pasti ada kisah-kisah yang akan kita sembunyikan, untuk sebab yang hanya kita tahu. Segalanya tersumbat padat dalam akal dan hati sehingga tercipta kesunyian.

Kehidupan memang aneh. Dua titik yang sepatutnya jauh jarak dan duduknya, sebenarnya sama. Kesunyian dan kesepian yang menyamakan ia.

Kosong dan penuh. Pada kekosongan, pencarian adalah perlu menuju Tuhan. Percaya dan yakin pada Tuhan akan mengisi kekosongan, dan mengubah sunyi jadi bahagia. Pada kepadatan, yang perlu diluah adalah kepada Tuhan. Supaya tidak ada kisah-kisah yang perlu disorok ketika berdoa serta meluah rintihan. Perkongsian jujur dengan Tuhan akan menghilangkan sesak, mengubah sepi jadi gembira. Dan akhirnya, dua titik itu tetap sama.

Ramai atau sedikit manusia itu bukan apa-apa, kembalilah kepada Penciptamu.

Monday, August 08, 2011

Terima kasih daun keladi.


Alhamdulillah, akhirnya bisa dipeluk dengan erat. Riwayat terindah ini memberi bahagia dalam hati saya. (:

Pada santun budi yang diberi,
Jua tiap kebaikan yang dikongsi,
Terima kasih daun keladi,
Moga nanti ada lagi.