BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, July 31, 2011

Kebanggaan seorang hamba.

Alhamdulillah, jika Allah masih memberikan nyawa untuk hidup malam ini, tarawikh pertama untuk Ramadhan yang ke-20 akan saya kerjakan. Bagi menggambarkan perasaan saya ketika ini, terlalu sukar. Pastinya, saya terlalu dan amat gembira kerana masih bisa merasai detik-detik ini. Ramadhan ini adalah acara yang indah. Tuhan himpunkan manusia dalam pelbagai cara, untuk saling mengenal, saling membantu dan saling mendoakan.


Sedar atau tidak, dalam kita mengenang acara seperti ini, bagi menyemak semula perasaan pada Ramadhan yang lalu, perkara yang pertama terlintas adalah dengan siapa kita ketika itu, di mana kita pada waktu itu. Dan jawapan bagi soalan itu akan sekaligus menjawab, apakah perasaan serta emosi kita pada saat itu.

Jujurnya, Ramadhan yang lalu berlalu begitu sahaja bagi saya. Penuh kesedihan dan kesayuan. Ramadhan yang lalu menjadi saksi harapan diletakkan besar pada manusia, sedangkan pergantungan sebenar seharusnya hanya kepada Allah Taala, Tuhan yang mengetahui tiap-tiap sesuatu.

Apa pun yang berlaku dulu, tidak akan pernah menghalang saya untuk maju dan berubah. Biarlah Ramadhan kali ini jadi saksi penyerahan yang penuh buat Tuhan yang Satu. Ramadhan ini akan menjadi Ramadhan yang terbaik buat saya, sebagai seorang hamba yang tidak akan pernah jemu memohon dan meminta.

Agar pada Ramadhan yang akan datang, bisa saya menjawab, saya bersama Tuhan, saya ketemu Tuhan, saya berteleku di sejadah pada tiga perempat malam pada Ramadhan yang lalu. Bagi menggambarkan seluruh perasaan, saya bangga menjadi hamba yang taat dan redha.

Selamat Menyambut Ramadhan dengan hati yang ikhlas dan jiwa yang jujur. Semoga Allah memperlihatkan jalan yang lurus dan benar buat kita semua. Semoga bahagia hari ini akan berkekalan sehingga ke akhirnya. Amin.

Tuesday, July 12, 2011

32 minit

32 minit berlalu. Rahsia hati dibongkar. Air mata aku sudah kering, yang bersisa hanya sedu. Biar itu jadi sedu yang terakhir. Yang terakhir sehingga aku menjadi aku yang lain. Yang tidak lagi membuka ruang untuk manusia datang tanpa diajak dan pergi tanpa berpaling. Yang tidak lagi berdiri tidak berganjak dari titik kosong yang membunuh. Yang tidak lagi menipu diri sendiri atau menafikan tiap rasa yang hadir. Atau yang mematikan tiap cinta yang dikurnia.


Prinsip aku sama. Yang berbeza cuma caranya. Betul atau salah itu masih kerja Tuhan. Aku? Menilai dengan akal fikiran, dan juga iman! Yang pasti, aku tidak akan menafikan tiap rasa yang terbit dalam jiwaku tetapi aku akan pelihara ia dengan iman yang aku punya, walau iman itu nipisnya tidak terkata. Ia kekal menjadi milik Tuhan. Soal dosa dan juga pahala, biar iman aku juga yang menilai. Kerja akal dan fikiran? Memajukan diri ke hadapan, untuk ummah dan agama. Untuk diri sendiri yang pastinya.

Jihad yang paling utama adalah jihad untuk diri sendiri. Melawan perasaan, nafsu atau keinginan. Itu prioriti aku. Biar tidak difahami orang lain, aku tahu Tuhan fahami aku. Jadilah aku manusia yang paling dungu di mata kalian pun, aku tahu Tuhan tidak begitu. Biarlah langkah ini lambat, sekurang-kurangnya aku mahu lakukan sesuatu.

32 minit, aku tahu siapa aku sejak 19 tahun yang lalu. Dan aku tahu ke mana arah aku, untuk kiraan minit dan tahun yang mendatang. 32 minit, panggilan telefon Petaling Jaya - Cyberjaya akan mengubah hidup aku. Okay, sekurang-kurangnya mengubah sesuatu. Terima kasih sahabat.

Friday, July 08, 2011

Ar-Rahman

Benarlah Tuhan itu Maha Pemurah. Sedar atau tidak, dalam kehidupan seharian kita ni terlalu banyak ruang kebaikan yang Allah buka buat kita. Contohnya, kalau kita duduk di dalam komuter kemudian datang seorang tua dengan barang yang banyak, lalu kita menjemput si tua itu untuk duduk di tempat kita. Begitu juga bila kita nampak orang buta berjalan seorang diri, lalu kita pergi menolongnya menuju tempat yang dia ingin pergi. Mudah, tetapi itu adalah ruang kebaikan yang akhirnya menambah pahala kita.


Saya yakin, Islam adalah agama yang mudah dan meluas. Pelbagai pintu kebaikan yang tersusun dihadapan kita untuk kita pilih, buka dan masuk. Dalam konteks yang lebih besar, saya selalu percaya jihad itu banyak caranya. Ia bukan sahaja menuntut kita untuk berbaris dalam saf pahlawan, memegang senjata, atau memakai baju tentera. Jihad lebih daripada itu semua. Bukankah seorang guru yang mengajar demi membangunkan Islam itu dikira sebagai jihad? Atau seorang pelajar yang belajar demi agama tercinta?

Apa pun, ia sebenarnya bergantung pada niat untuk setiap amal yang kita lakukan. Saya selalu berkeinginan untuk melakukan kebaikan kepada manusia, dari sekecil-kecil perkara sehingga perkara yang paling besar yang saya mampu. Dan Alhamdulillah, saya tahu Tuhan punya rencana. Pelbagai jalan yang terhampar di hadapan saya untuk saya beroleh pahala kebaikan dariNya. Rencana ini cukup indah, memberi rasa syukur yang tidak terhingga menjadi seorang manusia yang boleh dikatakan cukup serba-serbi kalau hendak dibandingkan dengan ramai lagi manusia yang menderita di luar sana.

Alhamdulillah, sekarang saya sedang menguruskan sebuah program Developing Soft Skills di sebuah Fosterhomes yang menempatkan anak-anak Sarawak. Mereka ini dihantar oleh ibubapa ke Semenanjung untuk mendapatkan pendidikan dengan lebih mudah. Kerana jiwa mereka masih terlalu bersih dan suci, saya jadi tertarik. Saya mahu menanamkan pada jiwa setiap daripada mereka tentang berjihad itu bukan pada pedang mahupun senapang sahaja. Tetapi pada penulisan dan juga kalam yang kita ucapkan. InshaAllah, jika rezeki Tuhan itu memang untuk saya, program ini akan berjalan dengan lancar. Saya percaya ini jihad, mohon didoakan. Amin Ya Rabb.