BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, December 27, 2010

Masa dan sabar.

Mereka.

Ingin bercerita tentang sabar? Aku tidak tahu apa lagi yang lebih tepat untuk aku jadikan contoh selain abang-abang dan kakak-kakak, pendebat UiTM. 15 tahun menanti. Akhirnya, mereka genggam apa yang mereka inginkan. Aku percaya, ia adalah kerana berkat kesabaran. 15 tahun itu lama, dan aku masih tidak dapat membayangkan bagaimana mereka melaluinya dengan tabah dan redha. Saat mereka melonjak gembira, memegang dan merangkul erat piala yang selama ini hanya mampu dilihat dari jauh, aku yakin mereka sedang bahagia. Aku? Tidak, itu bukan kejayaan aku. Itu kejayaan mereka. Tapi aku tumpang gembira. Gembira, kerana masih dianggap sebahagian dari mereka. Walau bukan tangan aku yang membawa bahagia. Alhamdulillah, punya mereka yang membuka mata aku tentang janji. Janji Tuhan bagi mereka yang sabar.

Hidup!

Konteksnya lebih besar. Tapi konsepnya tidak pernah berubah. Sabar! Tiada kata lagi yang boleh aku luahkan untuk memujuk hati yang sedang berdukacita. Berapa lama pun, jikalau saat jatuh kita tidak pernah lupa pada pengutus duka, dan saat bahagia kita tidak pernah jauh dari pencipta, ia akan dibalas dengan ganjaran yang tak terhitung nilainya. Kerana janji Tuhan itu tidak akan pernah berubah. Sabar akan membawa bahagia! Yang penting, percaya dan yakin. Allah akan segera membantu.

Cuma..

Jika aku pergi dari mereka, ia bukan kerana kesilapan sesiapa. Jika aku senyap dari bising dunia, ia bukan kerana aku benci pada sesiapa. Jika aku hilang dari pandangan manusia, ia bukan kerana aku tidak mahu dilihat oleh manusia yang aku cintai. Ia cuma kerana aku. Kerana aku bukan manusia yang sabar, aku tidak tabah. Jadi bagaimana harus aku duduk menanti dan berharap ganjaran yang besar akan datang sendiri? Tanpa sabar? Tidak, tidak akan. Kerana mereka tidak pernah ada cuma, kerana mereka tidak pernah berputus asa. Dan kerana aku terlalu berbeza dengan mereka.

Ingat!

Dan ingatlah! Aku bukan tidak percaya pada janji-Nya. Aku bukan tidak yakin pada Tuhanku. Aku belum sampai hilang pedoman seperti tidak punya iman. Aku bukan sejahil itu. Aku cuma jahil dalam mengurus perasaanku. Aku cuma jahil dalam menutup sedihku. Maka kejahilan inilah yang meminta aku masa untuk aku hilangkan rasa, untuk aku hapuskan dosa. Beri aku masa untuk menjadi aku yang dulu- yang tidak jahil. Supaya masa yang seterusnya, aku dapat belajar bagaimana untuk bersabar.

Saturday, December 25, 2010

Aku tahu!

Aku tahu, tika dan saat ini aku mungkin menjadi manusia yang paling besar dosanya. Berputus asa, seolah tiada tuhan yang bisa membantu. Hilang harapan, seperti tidak ada sesiapa yang lebih besar dugaannya dariku.


Aku tahu, keadaan ini telah mengecewakan lebih banyak hati. Kesedihan ini telah menghilangkan rasa hormat manusia lain terhadap aku. Kerana semua rasa ini telah mengheret aku menjadi manusia yang lebih hina.

Aku tahu, aku tidak pernah menjadi selemah ini. Menjadi insan yang hanya tahu mencipta seribu satu alasan yang tidak berkesudahan. Menjadi manusia yang seakan lupa dengan setiap janji yang pernah ditaburkan. Lupa pada janji untuk menjadi kuat, lupa pada janji untuk redha dengan setiap ujian, lupa dengan setiap janji yang dahulunya penguat semangat!

Aku tahu, air mata ini hanya akan menghanyutkan aku ke lautan yang paling deras. Sehingga aku menjerit dan akhirnya mati kelemasan. Walau berduyun manusia yang datang mahu membantu, tetap tidak dapat menarik aku keluar.

Aku tahu, aku selalunya tahu dan yakin dengan apa yang aku ucapkan. Namun aku tidak pernah tahu, mengapa aku jadi begini. Aku tidak tahu bagaimana untuk keluar dari kemelut penyesalan ini. Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan untuk pergi dari kehinaan yang pernah aku takut untuk dekati suatu ketika dahulu. Aku tidak tahu ke mana arahku. Aku tidak tahu ke mana hilang kekuatanku. Aku tidak tahu sampai bila aku akan begini. Aku tahu, aku tidak tahu.

Thursday, December 23, 2010

Aku mayat hidup!

Sedang aku buka warkah itu satu persatu, ada air hangat mengalir dipipiku. Selang beberapa saat, senyum aku melebar mengenang kenangan yang tidak akan pernah dapat dibayar oleh siapapun. Kemudian, tangis lagi yang kurasakan. Silih berganti seperti hujan yang datang di panas hari.


Aku mengalih pandangan pada aksara yang dilakar cantik, yang tidak pernah pudar dek masa yang kian berlalu. Ada genang dalam mata kecilku. Ya, sungguh ini suatu penyesalan. Penyesalan yang tidak dapat aku gambarkan walau dengan apapun. Walau dengan sejuta mata pena, tidak mampu aku luahkan menjadi bahasa tulisku.

Di sudut lain, aku tahu ini adalah balasan bagi insan yang tidak tahu bagaimana untuk bersyukur. Aku tahu ini ialah bayaran kepada kesedihan yang aku campakkan dulu. Bayaran buat manusia yang pernah tidak punya hati dan perasaan suatu ketika dulu. Ini adalah kekecewaan yang tertangguh buatku.

Aku simpan kembali kesemua warkah yang pernah menjadi jalan bahagia buatku. Aku letakkan ia di satu tempat yang istimewa yang tidak pernah aku ubah sejak berbulan lamanya, sejak dahulu. Isinya juga tidak berubah, hanya makna disebaliknya yang semakin hilang hari ke hari.

Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku lihat getar tanganku beransur pulih, cuma titis itu kian deras. Aku sudah tidak punya hati dan perasaan. Tapi bukan untuk aku campakkan kesedihan pada sesiapa. Ia hanya buat insan seperti aku. Untuk memadam rindu pada setiap kebaikan yang pernah diperolehi. Suatu ketika dahulu.

Monday, December 20, 2010

Penyesalan.

Kadang-kadang aku cuma marah dan kesal dengan diri sendiri kerana aku yang menjadi punca kegagalan jiwa ini terjadi. Kerana kekesalan yang menggunung tinggi dalam hatiku, aku seakan tersepit di tengah-tengah rasa kasih untuk memilih. Terus menunggu atau sekadar melupakan?


Esakan dan tangisan aku sememangnya berbaur penyesalan! Aku seperti sesat dan tidak punya jalan pulang walaupun aku yang berhak membuat pilihan. Seperti aku tidak mampu bergerak melakukan apa yang aku mahu, sedang aku tahu rahsia hatiku. Sehingga aku rasakan, jalan keluar dari kekusutan ini adalah dengan mengorbankan segala-galanya yang aku miliki.

Dunia ini kurasakan sunyi tidak berpenghuni, sedang manusia sedang memekik kuat memanggil namaku. Sekelilingku seperti kosong, padahal ada yang sedang berlari-lari menunjukkan diri. Namun kesepian ini aku yang cipta, aku yang reka. Sebab itu aku seakan tidak tahu apa-apa tentang gembira.

Ya Allah, berikanlah kepastian bagi setiap degup jantungku ini. Berilah keyakinan bagi segenap ruang jiwa dan perasaanku ini. Berilah kekuatan untuk setiap kudrat yang tidak seberapa ini. Berilah keredhaan untuk setiap tindakan dan pemikiran yang sedang berjalan dalam diriku ini. Hanya kepadaMu aku berserah, sesungguhnya aku insan yang buntu yang memerlukan pertolongan. Amin Ya Rabb.

Thursday, December 09, 2010

Rindu!