BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, March 27, 2011

Kun fayakun.

2 rakaat. Setelah tangan ditadah, dia mengusap wajah. Membuang segala noda dan cela. "Alhamdulillah, selesai subuh aku tunaikan." Bisik hatinya. Sejadah itu segera dilipat. Dia yang masih bertelekung itu terus menuju ke jendela kamar. Tirai itu diselak, suasana di luar kelihatan tenang dan damai. Burung-burung bercicip mesra, meninggalkan sangkar mencari bahagia. Titis embun yang menumpang daun pada malam hari, jatuh satu persatu menyembah bumi. Langit yang cerah itu seperti membawa khabar gembira buat pagi. Lihat, bagaimana Allah menciptakan alam untuk manusia teladani dengan nikmat akal yang Allah beri. Dia pergi ke sebuah almari lama. Tafsir Quran dicapai, lalu Surah as-Syura ayat 12 segera dibuka.


"Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."


Berulangkali ayat itu diulang dan dibaca. Ada kerut didahi, dia sedang memikirkan nasib diri. Terngiang ditelinganya suara Dr. MAZA dalam ceramah beliau yang baru sahaja didengarnya malam tadi melalui video. Tawakkal adalah perkara terpenting dalam soal aqidah, bagaimana insan bergantung hanya pada Allah Taala. Dimana manusia menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah uruskan.

Saat itu, satu persatu perancangan hidup yang telah lama dirangka datang menjelma. Jua matlamat yang bertahun lama dia angankan. Segalanya untuk kebahagiaan dunia. Segalanya tampak jelas hari ke hari, setelah dia meningkat dewasa. Cita-cita seakan mudah digapai, hanya dengan menurut aturan dunia. Bahagia yang dikejar seolah di hadapan mata, setelah pelbagai rencana dia lakarkan. Segalanya nampak teratur dan mudah. Tapi mengapa hatinya tidak tenang selama ini? Mengapa jiwanya terasa kosong dan sepi? Mengapa dia sentiasa merasa tidak cukup, walau setelah Tuhan memberikan rezeki? Dia diam, membiar nikmat akal dan hati untuk menjawap soalan demi soalan yang datang bertalu padanya.

Setelah itu, dia jadi kecewa. Jiwanya sebak, ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya. Apakah sebenarnya bahagia yang dia cari? Apakah sebenarnya yang dia kehendaki? Manusia mungkin punya definisi bahagia yang berbeza. Semuanya bergantung pada keinginan hati dan kadangkala berserta nafsu perosak diri. Namun dalam segala bentuk definisi dan erti, apakah sebenarnya bahagia yang hakiki?

"Dimana penyerahan jiwamu pada Tuhan yang mencipta kamu dan rezeki yang diberikan kepadamu selama ini? Dimana tawakkal yang sepatutnya hadir dalam dirimu buat Tuhan yang merencana dan mentadbirurus dirimu selama hidupmu ini?"

Dia angguk setuju. Dia tiada tawakkal pada Tuhannya selama ini. Kerana dia merasa usaha manusia yang dia punya mampu merealisasikan bahagia yang dia damba. Kerana dia yakin dengan rencana yang dia rangka bisa merealitikan segala yang dia angan-angankan. Dia tiada penyerahan jiwa pada yang lebih mengetahui tiap-tiap sesuatu. Dia angguk setuju lagi. Tafsir ditangan diselak lagi. At-Talaq, ayat 3.

"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya dan (ingatlah); siapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

Cicip burung masih kedengaran. Pagi Ahad sebegini mungkin pagi bersenang lenang bagi manusia seperti kita. Tapi tidak buat sang burung yang masih kekal melakukan rutin pagi, mencari rezeki dengan penuh tawakkal dalam diri. Burung tidak punya akal seperti kita, tapi masih berzikir pada yang Maha Esa. Menyerahkan segalanya pada pentadbir alam untuk mengurus dirinya yang kerdil itu. Itulah penyerahan jiwa yang sebenarnya. Itulah tawakkal buat Sang Pencipta.

Telekung dibuka, tafsir disimpan. Hikmah dan teladan disemat. Tawakkal disemai. Bahagia dibentuk bersama penyerahan kepadaNya. Dia serahkan segalanya kepada Allah, Tuhan yang membahagi-bahagikan rezeki. Kerana bahagia yang dia cari, Allah yang beri. Bila Allah kata jadi, maka jadilah!

0 Yorum var: